Maritim Malaysia rampas 360kg minyak masak seludup

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

SEMPORNA :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot pam menyeludup keluar minyak masak paket bersubsidi di perairan Semporna sekitar jam 10.30 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot pam berwarna biru dan hijau tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi sekitar 0.2 Batu Nautika Barat Pulau Sebangkat, Semporna.

Katanya, semasa dihampiri, tekong bot telah bertindak terjun ke laut dan berenang melarikan diri ke daratan berhampiran.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui lebih kurang 340 kilogram minyak masak paket bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan tiga buah enjin pam adalah bernilai sekitar RM6,000.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai. Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu pada bulan Oktober lalu Zon Maritim Semporna juga telah berjaya mengagalkan beberapa siri jenayah di lautan termasuk satu kes bom ikan, dua kes penyeludupan minyak masak serta satu kes penyeludupan minyak petrol yang bernilai lebih kurang RM 28,000 nilai keseluruhannya.

Amir berkata, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut.

Katanya, Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *