Pembangunan modal insan sentiasa jadi keutamaan – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

TAMPARULI : Pembangunan modal insan dikalangan rakyat di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Sabah bagi memastikan pembangunan negara akan dapat dicapai dengan sebaiknya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bidang pendidikan juga merupakan kunci kepada kejayaan seorang individu dalam membantu membangunkan negara.

“Pendidikan ini adalah amat penting bagi kita. Tanpa pendidikan amat sukar untuk kita capai kemajuan dan kita juga sukar untuk membantu memajukan masyarakat serta negara kita.

“Oleh kerana itu, Kerajaan pada hari ini meletakkan pendidikan sebagai keutamaan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita membangunkan modal insan sebagai keutamaan kerana ini adalah kunci kita kepada kejayaan pada masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Green And Nature Park Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Tamparuli di sini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tah Nia Jaman.

Hajiji berkata, Kerajaan negeri juga sentiasa mengambil perhatian dan prihatin terhadap keperluan sekolah dalam membantu membangunkan modal insan pelajar.

“Pada hari ini pihak sekolah telah memohon beberapa permintaan khas untuk kegunaan sekolah dan pelajar. Ini termasuklah permohonan tanah sebanyak suku ekar bagi melaksanakan Green And Nature Park, tanpa saya lengahkan saya luluskan permintaan mereka.

“Bagi saya ini amat penting agar para pelajar dapat mempelajari dan menyayangi alam sekitar selain menghormati alam semulajadi keindahan di negeri Sabah.

“Jadi kalau anak-anak ini dari kecil sayangkan alam sekitar,saya yakin apabila besar mereka akan lebih menyayangi dan memelihara alam sekitar dimana mereka berada,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Hajiji mengumumkan peruntukkan sebanyak RM150,000 bagi membantu melaksanakan aktiviti dan program sekolah berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 disumbangkan bagi melaksanakan Green And Nature Park.

Selain itu sebanyak RM50,000 turut disumbangkan bagi menambah peralatan pancaragam sekolah Dan peruntukan bagi membekalkan ‘Smart Board’ sebanyak RM50,000. – SABAH MEDIA / EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *