PRU15 : Armizan seru rakyat buat pilihan bijak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 17 Second

PAPAR :  Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menyeru rakyat untuk bijak menilai pencapaian antara kerajaan GRS dengan kerajaan terdahulu.

Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 di Sabah khususnya memberi peluang kepada rakyat untuk membuat perbandingan serta menilai tahap pencapaian dengan tempoh yang sama.

“PRU ini ada hikmahnya kerana usia pentadbiran kerajaan GRS baru dua tahun, manakala usia pentadbiran kerajaan lepas juga dua tahun, jadi masyarakat bolehlah menimbang tara apa pencapaian bagi kedua-dua pihak ini,” katanya.

Armizan, 46, anak bongsu kepada bekas Ketua Wanita Umno Papar, Allahyarham Norjan Khan Bahadar juga bertekad untuk meneruskan jalinan muafakat GRS dan Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat.

“Walaupun logo yang dibawa ini adalah GRS namun sebenarnya selain daripada parti-parti di bawah GRS, saya juga membawa aspirasi perjuangan muafakat GRS dan BN.

“Hanya kerana peraturan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hanya satu logo boleh digunakan, maka kita muafakat di antara GRS dan BN kita bahagi kerusi supaya tidak ada pertembungan untuk memastikan kesemua 25 kerusi GRS-BN menang dalam PRU-15.

“Selain daripada GRS-BN, di Sabah ini unik kerana rakan strategik yang turut menyokong kepada calon ialah parti KDM menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Juil Nuatim, Parti PAS dan PCS kerana muafakat demi rakyat,”katanya.

Beliau yang hadir ke PDM Kg Laut dekat sini malam tadi, diiringi Adun Kawang,Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Penasihat Jentera Pilihanraya Parlimen Papar, Datuk Seri Panglima Abdul Rahim Ismail.

Dalam ucapannya, beliau turut komited memperjuangkan semula projek jambatan dan Jalan Pengalat – Lok Kawi bagi menyelesaikan masalah yang kian menghimpit rakyat. 

Beliau berkata, idea serta projek berkenaan telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan hasil kerja keras para pemimpin BN, sebelum dibatalkan ekoran pertukaran pimpinan kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan sebagai komponen utamanya.

“Pada penghujung tahun 2017 dan awal tahun 2018, sebenarnya para pemimpin lama Datuk Abdul Rahim Ismail, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Datuk Seri Ghulam mengejar dan merayu ke sana sini sehingga berjaya mendapat kelulusan dan kontraktor telahpun dilantik.

“Dengan peruntukan RM780 juta, projek naik taraf jalan raya sepanjang 27km dari Kinarut ke Sungai Padang itu melibatkan komponen lima jambatan baharu. 

“Kontraktor telah dilantik, perjanjian pembayaran (LoU) sudah dikeluarkan, kerja baru nak mula tetapi malangnya kita terpengaruh dengan Sabah Ubah, akhirnya tiga bulan selepas Warisan memerintah projek itu dibatalkan,” katanya.

Beliau turut mendakwa parti berkenaan perlu bertanggungjawab kerana telah membatalkan projek yang penting dan isu utama masyarakat serta para pengguna di Jalan Pengalat – Lok Kawi.

“Pemimpin mereka perlu bertanggungjawab kerana membatalkan projek penting yang akan menyelesaikan isu masyarakat iaitu jambatan dan pelebaran jalan raya.

“Itu antara janji-janji perubahan yang mereka telah buat pada tahun 2018 yang akhirnya kita yang mewarisi masalah kesesakan hingga hari ini,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *