Ketua Pemuda PKDM isytihar sokong Calon GRS dalam PRU15

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA MARUDU: Beberapa ahli, termasuk ketua pemuda Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Wilson Lampaki, bertindak keluar parti kerana kurang senang dengan keputusan kepimpinan untuk ‘berlawan’ dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau menyatakan demikian dalam satu video tular berdurasi 2.11 minit pada sesi kempen bersama penyokong calon GRS di Matunggong, dekat sini, untuk kerusi parlimen P168 Kota Marudu, baru-baru ini.

Walaupun tidak menyatakan nama calon terbabit, di dalam video tersebut, Wilson telah menyatakan kronologi usaha salah seorang calon sebelum beliau diterima bertanding atas tiket PKDM dalam Pilihanraya Umum ke-15 ini.

“Pada mulanya, dia cakap mahu jadi calon PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) ketika berada di Matunggong, tetapi oleh kerana ikatan kukuh PBRS dan GRS, maka (cubaan) dia tidak diterima.

“Sebelum dia sempat berjumpa dengan presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, dia sudah umum akan jadi calon Warisan di Kota Marudu. Tapi Shafie cakap ‘kau tidak boleh jadi calon Warisan, isi borang pun belum’.

“Jadi dia jumpa (presiden PKDM Datuk) Peter Anthony di KK (Kota Kinabalu). Peter terima dan lantik dia sebagai timbalan presiden untuk kuota Islam, tanpa merujuk kepada kami AJK (ahli jawatankuasa) PKDM KM (Kota Marudu).

“Salah satu sebab mengapa saya dan kawan-kawan meninggalkan PKDM ialah kerana dulu, kami ingat PKDM betul-betul akan bantu calon GRS, tetapi sekarang, mereka serang pula ketua mereka,” ujar beliau.

Wilson meminta agar pengundi Kota Marudu menolak calon PKDM, kerana: “Tugasan (sebagai) DUN Bandau pun belum selesai, sekarang dia lompat parti demi mengejar pangkat kedua (sebagai ahli parlimen).”

Beliau mengingatkan para pengundi bahawa jika mereka memilih calon yang salah, maka mereka berada di pihak yang salah kerana menyokong parti pembangkang.

“Lebih baik kita bersatu dan sokong calong GRS untuk kerusi parlimen Kota Marudu. Kita pastikan kemenangan beliau,” nasihat Wilson.

PRU15 bagi kerusi Parlimen Kota Marudu meihat penyandang Datuk Seri Dr Maximus Ongkii berdepan dengan calon PKDM, Datuk Wetrom Bahanda, Sharizal Denci (MUDA), Datuk Jilid Kuminding (Parti Warisan Sabah), Mohd Azmie Zulkiflee dari Pejuang Tanah Air dan calon bebas tunggal, Norman Tulang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *