Agong titah akan buat keputusan pelantikan pm dalam masa terdekat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam bertitah akan membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10 dalam masa terdekat.

Seri Paduka turut menyeru rakyat supaya menerima apa sahaja keputusan berkaitan pelantikan tersebut serta pembentukan kerajaan baharu kelak.

“Marilah bersama terima keputusan rakyat, terima keputusan wakil-wakil rakyat dan terima keputusan Yang di-Pertuan Agong. Sila rasional dan kita perlu teruskan, kita perlu bergerak ke hadapan untuk negara kita yang tercinta ini.

“Biar saya buat keputusan dalam masa terdekat,” titah Al-Sultan Abdullah ketika berkenan mencemar duli bertemu pemberita di hadapan Pintu 2, Istana Negara di sini hari ini.

Semalam, Istana Negara menerusi satu kenyataan memaklumkan Seri Paduka berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik dan gabungan parti politik untuk mengemukakan gabungan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri hingga 2 petang hari ini.

Mengenai perkembangan surat akuan bersumpah berhubung pemilihan parti untuk melantik Perdana Menteri ke-10 serta sama ada istiadat mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah: “Saya tak boleh nak kata (apa). Saya belum melihat apa-apa lagi.”

PRU15 Sabtu lepas berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi; Perikatan Nasional 73 kerusi; Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *