HOM ketiga tingkat pengawasan perairan Sabah, Sarawak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU : Helikopter Operasi Maritim (HOM) Agusta Westland 139 yang ketiga telah diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini di Stesen Udara Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis penyerahan ini telah menyaksikan Sijil Serah Terima ditandatangani oleh Pengarah Urusan Syarikat Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd iaitu Dato’ Shamsul Kamar Samsudin bersama Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Mohd Reza berkata, kemasukan HOM AW139 ini penting dalam pelaksanaan misi pengumpulan maklumat, pengawasan dan tinjauan perairan Sabah dan Sarawak bagi memastikan kelestarian perairan negara.

“Dengan keluasan perairan Sabah dan Sarawak yang meliputi 315, 263 km persegi, adalah mustahil untuk kapal TLDM berada di setiap inci perairan ini setiap masa.

“Dengan adanya helikopter baru ini, kapal-kapal TLDM akan mampu memperluaskan lagi jangkauan rondaan yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Helikopter Operasi Maritim Ketiga di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini hari ini.

Mohd Reza berkata, perolehan HOM ini merupakan salah satu perolehan yang telah dirancang dalam Pelan Transformasi 15 to 5 TLDM.

Katanya, TLDM juga sedang mengusahakan HOM Batch Kedua bagi melengkapkan jumlah helikopter dalam satu skuadron

“Kita juga berharap kerajaan baharu dapat memberikan pertimbangan mendalam kepada keperluan TLDM terutama dalam memastikan projek Littoral Combat Ship (LCS) diteruskan dan Projek kapal Littoral Mission Ship (LMS) batch kedua dapat direlisasikan,” katanya.

Beliau turut menyatakan akan memberi sokongan penuh kepada Menteri Pertahanan yang bakal di lantik dan berharap agar kerajaan baharu akan dapat menyelaraskan bajet keselamatan daripada  satu peratus kepada 1.5 peratus agar keupayaan pertahanan dapat disesuaikan dengan senario landskap keselamatan semasa.

HOM AW139 ketiga ini bakal menjalani proses ujian dan percubaan penerbangan yang komprehensif sebelum diberi tugasan rondaan, pemantauan dan pengawasan zon maritim negara.

Selain itu, HOM juga akan dapat meningkatkan kemampuan TLDM dalam membantu agensi-agensi lain menguatkuasakan undang-undang maritim negara untuk mencegah jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan pencerobohan bot nelayan asing.

Aset udara ini turut menjadi elemen sokongan dalam memperkasa keupayaan pasukan elit TLDM iaitu Pasukan Khas Laut (PASKAL). 

Bagi mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian etnik dan semangat kepahlawanan di Negeri di Bawah Bayu ini, ketiga-tiga HOM AW139 telah didaftarkn dengan menggunakan callsign atau nama panggilan ‘TANOM’ yang sinonim dengan pahlawan Murut iaitu Antanom.

Malah, Skuadron 503 yang mengoperasikan HOM AW139 turut menggunakan cogan kata ‘Monoluku Momurias’ yang membawa maksud ‘Menjejak Menggempur’ dalam Bahasa Dusun. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *