HomeLuar negaraNeymar guna teknologi NASA untuk cepatkan penyembuhan pada Piala Dunia

Neymar guna teknologi NASA untuk cepatkan penyembuhan pada Piala Dunia

Read Time:1 Minute, 39 Second

DOHA: Pemain sensasi Brazil, Neymar yang digantikan ketika menentang Serbia selepas cedera pergelangan kaki kanannya dan kemudian disahkan terseliuh, menyebabkannya tidak boleh beraksi menentang Switzerland begitu juga tidak pasti bagi perlawanan terakhir kumpulan menentang Cameroon.

Sama ada dia boleh diturunkan pada perlawanan ketiga itu bergantung kepada perkembangannya dan prestasi pasukan kebangsaannya.

Bagaimanapun bintang Brazil itu kini beralih kepada teknologi NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan) Amerika Syarikat untuk memberikannya rawatan fisioterapi intensif.

Di media sosial, Neymar mendedahkan dia kini dirawat dengan menggunakan but mampatan (compression boot).

Peralatan itu menggunakan teknologi NASA dan berfungsi untuk mempercepatkan penyembuhan. But itu menggabungkan tiga teknik urutan berbeza dan mengaktifkan peredaran darah.

Ia juga merangsang sistem vena, mengurangkan bengkak, melegakan kesakitan, mengurangkan keletihan otot, menghilangkan asid laktik terkumpul, kekejangan dan memperbaiki tisu lembut serta penyembuhan tulang.

Justeru, Neymar boleh beraksi pada Piala Dunia sekali lagi pada peringkat kalah mati atau jika Brazil bergelut menentang Switzerland, pada perlawanan selepas itu.

Neymar meluahkan perasaannya di laman Instagram untuk berkongsi apa yang dirasainya mengenai kecederaan itu.

“Kebanggaan dan kecintaan saya rasakan menyarung jersi ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Jika Tuhan memberikan saya peluang untuk memilih negara mana untuk dilahirkan, ia tetap Brazil,” katanya.

“Tiada apa yang mudah atau didapati dengan senang dalam kehidupan saya, saya sering kali perlu berusaha untuk mengejar impian dan sasaran saya. Tidak pernah terfikir untuk menyusahkan orang lain tetapi membantu mereka yang memerlukan.

“Hari ini menjadi satu daripada saat paling sukar dalam karier saya… dan sekali lagi saya mengalami kecederaan pada Piala Dunia, ya ia meletihkan, ia menyakitkan tetapi saya pasti berpeluang untuk kembali kerana saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu negara saya, rakan sepasukan saya dan diri saya sendiri.”

Seperti dinyatakan di laman web mereka, siri generasi baharu NormaTec 2.0 direka untuk menyediakan pemulihan menyeluruh bagi atlet di semua peringkat.

Sistem siri 2.0 adalah 27 peratus lebih kecil, sambil mengekalkan prestasi yang menjadikan NormaTec sebagai sistem pemulihan yang dipercayai 97 peratus oleh pasukan profesional.- BH

RELATED ARTICLES
Sukan

Kejohanan bola sepak medan cungkil bakat baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular