Cubaan seludup keluar minyak masak bersubsidi digagalkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

SEMPORNA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya melaksanakan dua tangkapan membabitkan aktiviti mengebom ikan serta cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubdisidi di perairan Semporna, 11.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur.

Katanya, sebuah bot pam berwarna biru dan kelabu tanpa nombor pendaftaran dikesan bot peronda bergerak dalam keadaan mencurigakan di kedudukan sekitar 0.1 Batu Nautika Utara Kampung Gelam-Gelam.

“Semasa dihampiri, tekong bot telah bertindak terjun serta melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran. Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui beberapa peralatan mengebom ikan.

“Pada masa yang sama, sebuah bot bewarna hijau tanpa nombor pendaftaran yang melalui kawasan berhampiran lokasi kejadian dengan tiba- tiba bertindak terjun meninggalkan bot yang dinaiki. “Faktor muka bumi serta perairan yang cetek menyukarkan usaha mengesan serta menahan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Amir berkata, curiga dengan tindakan yang dilakukan suspek, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan dilaksanakan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui beberapa bungkusan berisi minyak masak paket bersubsidi sebanyak 400 kilogram dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Kedua- dua bot tersebut seterusnya ditunda dan diiring ke Jeti Maritim Semporna untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM23,000. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.

“Aktiviti pengeboman ikan merupakan satu kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985. Aktiviti tersebut bukan sekadar merosakkan ekosistem di laut malahan ia juga akan menjejaskan industri pelancongan di perairan Semporna.

“Impak letupan boleh mendatangkan kecederaan, kehilangan nyawa serta ancaman-ancaman bahaya yang lain terutamanya kepada para penyelam rekreasi di kawasan berdekatan.

“Rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar kawasan pelancongan serta sempadan perairan negara akan terus dilaksanakan bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah dilaut,” katanya.

Menurutnya, Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *