110 pelajar sertai Perkhemahan Unicamp di SMK Tansau

Read Time:1 Minute, 21 Second

PRNAMPANG: Seramai 110 pelajar daripada 11 unit beruniform Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau dekat sini terlibat dalam aktiviti perkhemahan Unicamp yang diadakan di sekolah berkenaan pada Sabtu lalu.

Pengetua SMK Tansau, Rusmadi Ahmad berkata, aktiviti itu dilaksanakan selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin mewujudkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani melalui penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum.

“Penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum seperti unit beruniform menjadi agen pelengkap kepada pencapaian akademik pelajar.

“Terdapat 11 unit beruniform yang terlibat dalam perkhemahan ini iaitu Pengakap, Puteri Islam, Pandu Puteri, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Kelab Rakan Sebaya (KRS), Kadet Bomba, Kadet Polis, St John Ambulans, Taekwondo, Seni Silat dan Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) dengan jumlah anggota seramai 110 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhemahan Unicamp itu dirasmikan oleh Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tansau, Zaidi Abdullah.

Dalam pada itu, Zaidi turut berkata pengelibatan pelajar dalam perkhemahan unit beruniform itu merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cerdas fizikal dan mental.

“Semoga kerjasama antara pihak sekolah dengan ibubapa akan menjadikan sekolah ini lebih beraspirasi untuk meningkatkan pencapaian murid dalam bidang kokurikulum agar terus cemerlang hingga ke peringkat yang lebih membanggakan lagi,” katanya.

Pelbagai aktiviti telah disusun dalam program ini seperti treasure hunt, pembinaan gadget dan malam kebudayaan.

Aktiviti yang dianjurkan ini adalah untuk meningkatkan keyakinan diri serta menguji ketahanan fizikal dan mental setiap peserta.

Program ini juga diselitkan dengan aktiviti kerohanian untuk membina keyakinan diri dan mengukuhkan keimanan pelajar agar dapat membentuk modal insan yang seimbang selaras dengan pembangunan sebuah negara yang mampan dan dinamik.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.