Dua cedera dalam pergaduhan, polis tahan dua suspek lelaki

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Polis menahan dua suspek lelaki dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan menggunakan senjata mengakibatkan dua orang mangsa cedera dalam satu kejadian di hadapan sebuah kilang makanan laut yang terletak di Sepanggar dekat sini pada Khamis lalu.

Pada 4 Disember 2022, viral satu video melalui aplikasi Tik Tok berdurasi satu minit 33 saat tentang kejadian pergaduhan antara dua kumpulan lelaki di Daerah Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan polis mendapati kejadian ini berlaku pada 1 Disember 2022 jam lebih kurang 12.15 tengah hari, bertempat di hadapan sebuah kilang makanan laut yang terletak di Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Dalam kejadian ini empat lelaki telah menyekat laluan keluar masuk kilang tersebut dengan mengunakan sebuah kereta perodua bezza berwarna merah dengan tujuan hendak berjumpa dengan pengusaha kilang tersebut yang dikatakan gagal menjelaskan gaji sebanyak rm10,000 kepada salah seorang lelaki berkenaan.

“Rakan kepada pengusaha kilang berkenaan telah mengarahkan kumpulan lelaki tersebut untuk mengubah kereta perodua bezza dari
laluan keluar masuk ke kilang berkenaan tetapi tidak diendahkan lalu bertindak membaling alat pemadam api ke arah kereta perodua bezza yang telah memecahkan cemin tingkap penumpang hadapan kereta
bezza,’ katanya.

Menurutnya, kumpulan lelaki tersebut bertindak balas dengan menyerang, menumbuk dan memukul pengusaha kilang dan rakannya termasuk menggunakan rantai besi. Salah seorang lelaki juga telah mengambil sebilah parang dan cuba menyerang pengusaha kilang dan rakannya namun telah diredakan oleh ketua kumpulan lelaki tersebut.

“Akibat kejadian ini pengusaha kilang mendapat cedera ringan di telinga kiri dan sakit sakit di tubuh badan manakala rakannya mendapat cedera luka di belakang kepala dan menerima lima jahitan di pusat kesihatan Menggatal,” jelas Mohd Zaidi.

Beliau berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah seksyen 148 kanun keseksaan (merusuh) dan seksyen 324 kanun keseksaan (mendatangkan cedera dengan senjata bahaya).

Berikutan kejadian itu, menurut Mohd Zaidi, pada 4 Disember 2022 ketua kumpulan lelaki berusia 47 tahun dan pekerjanya berumur 53 tahun telah ditangkap bersama rantai besi yang digunakan untuk menyerang mangsa serta kereta perodua bezza telah dirampas untuk siasatan kes tersebut.

“Pihak polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki yang terlibat dalam kes ini dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka melalui video yang diviralkan itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Vermal Al Subramaniam
di talian 010-2314432.

“Pihak polis juga mengesahkan bahawa kejadian pergaduhan atau rusuhan ini tiada melibatkan unsur-unsur kongsi gelap dan ia berpunca kepada rasa tidak puas hati bekas pekerja kepada majikan, rakan kongsi yang masih gagal menjelaskan baki gaji tertunggak,” katanya.

Sementara itu, pihak polis menasihatkan semua pihak untuk mengambil tindakan melalui saluran undang-undang yang sedia ada sekiranya menghadapi masalah berkaitan kewangan atau keberhutangan dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang kerana ia akan mengeruhkan keadaan dan berisiko kepada kejadian jenayah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *