Catuan air dilakukan, permintaan melebihi jumlah bekalan air di kawasan Putatan – JANS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 36 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Jabatan Air Negeri Sabah terpaksa melakukan kaedah catuan air untuk kaedah jangka masa pendek disebabkan oleh permintaan yang melebihi jumlah bekalan air bersih di kawasan Daerah Putatan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau telah diberi taklimat oleh Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Quirine Jokinol tentang masalah bekalan air yang sedang dihadapi penduduk sekitar Daerah Putatan.

“Pada pagi ini, saya telah mendengar taklimat yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah bersama beberapa kakitangan daripada Jabatan Air Negeri Sabah dan hasil daripada taklimat tersebut, kita telah dimaklumkan memang kita sekarang sedang menghadapi masalah bekalan air kerana jumlah permintaan adalah melebihi daripada jumlah bekalan air terawat yang dapat dihasilkan oleh loji-loji yang membekal air.

“Untuk Daerah Putatan ini, kita menerima bekalan air daripada Moyog dan juga Kasigui dan disebabkan oleh permintaan yang melebihi jumlah bekalan ini, maka kaedah jangka pendek yang telah dijalankan pihak Jabatan Air Negeri Sabah adalah dengan melakukan kaedah catuan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat bersama beberapa kakitangan Jabatan Air Negeri Sabah tentang masalah bekalan air yang sedang dihadapi penduduk Daerah Putatan, di Pejabat Daerah Putatan pada hari ini. (14 Dis)

Menurut Shahelmey, tujuan catuan bekalan air ini diadakan adalah bagi membolehkan kawasan-kawasan yang mempunyai tekanan air rendah dapat dibekalkan bekalan air terawat pada sesuatu jangka masa yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, bagi penduduk yang ada di sekitar Daerah Putatan saya nasihatkan untuk mereka peka terhadap notis catuan bekalan air dan menyediakan tangki-tangki ataupun tempat-tempat simpanan air di rumah masing-masing bagi memastikan mereka mempunyai bekalan air yang mencukupi apabila bekalan air ada di kawasan atau premis mereka,” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, penghantaran air juga dalam salah satu daripada pelan tindakan yang akan dibuat.

Sementara itu, Shahelmey berkata, setiap hari beliau ada menerima aduan mengenai masalah bekalan air ini, contohnya kawasan-kawasan perumahan seperti Platinum Apartment yang mana bekalan air dapat masuk ke tangki atau dipanggil ‘balancing tank‘ tetapi ada sedikit masalah dari sudut paras air.

“Saya sudah memaklumkan kepada Jabatan Air dan mereka turut membantu menangani masalah ini. Pihak Jabatan Air akan berhubung dengan pihak pengurusan perumahan untuk cuba mengatasi masalah bekalan air. Di situ dari sudut teknikal.

“Jadi apabila bekalan air akan masuk ke balancing tank nanti, jumlah air yang mencukupi masuk dalam tangki dan pam air akan dapat berfungsi untuk mengepam air naik ke atas tangki simpanan di kawasan-kawasan perumahan yang bertingkat,” jelasnya.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa itu adalah solusi jangka pendek, untuk jangka masa panjang pihak Jabatan Air dan juga Kerajaan Negeri Sabah memang telah mempunyai rancangan untuk membina loji rawatan air dan juga empangan yang akan diputuskan dalam tempoh masa terdekat nanti.

“Justeru, catuan air ini akan berterusan sehingga keadaan mengizinkan, ertinya kita berdasarkan pertumbuhan penduduk yang sudah melebihi kapasiti pengeluaran, kita memerlukan loji baru dibuat untuk menambah kapasiti yang sedia ada sekarang.

“Rancangan membina loji dan lokasi, sebenarnya feasability studies (kajian kebolehlaksanaan) sedang dibuat dan nanti keputusan muktamad akan diputuskan oleh Kabinet Negeri Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *