HomeUtamaKerajaan Negeri komited bantu rakyat tingkat taraf hidup, perkukuh ekonomi negeri -...

Kerajaan Negeri komited bantu rakyat tingkat taraf hidup, perkukuh ekonomi negeri – Joachim

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor amat komited untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup dan memperkukuhkan ekonomi negeri meskipun negara masih dalam proses pemulihan ekonomi setelah dua tahun berada dalam pasca pandemik Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Justeru itu, Joachim berkata, perayaan Hari Krismas yang diraikan bersama dari semua golongan tanpa mengira latar belakang adalah sebagai tanda kesyukuran dan kesatuan demi kesejahteraan serta keharmonian hidup rakyat di negeri ini.

“Marilah kita jadikan sambutan perayaan Hari Krismas ini sebagai satu kesyukuran dan kesatuan tanpa mengira perbezaan etnik, bangsa dan agama.

“Saya menyeru untuk kita semua bersama-sama mengorak langkah dan bersama-sama mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negeri kita yang tercinta ini,” kata Joachim ketika merasmikan Majlis Penutupan KK Christmas 2022 yang diadakan di Padang Merdeka, di sini, malam tadi. (16 Dis).

Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Gereja-Gereja Sabah kerana berjaya menganjurkan perayaan selama empat malam itu dengan penuh warna-warni.

“Syukur kepada Tuhan, perayaan Krismas pada tahun ini berjaya dan berlangsung dengan lebih meriah selama empat malam. Saya gembira melihat acara ini yang telah menarik ramai pengunjung datang ke Padang Merdeka. Saya turut dimaklumkan, pada setiap malam pelbagai aktiviti diadakan sebagai pengisian program ini,” ujarnya.

Beliau menambah, tema perayaan KK Christmas pada tahun ini iaitu ‘Seruan Kesejahteraan’ amat bertepatan sekali untuk terus menyatupadukan segenap lapisan masyarakat di negeri ini.

Katanya, perayaan Krismas pada tahun ini memberi impak yang sangat positif di mana ia membolehkan rakyat dari pelbagai etnik lain juga merasai kegembiraan perayaan Krismas.

“Ini membuktikan pihak Kerajaan menghargai setiap peranan dan sumbangan segenap lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK, Robert Lipon; Presiden Gereja-gereja Sabah selaku Pengerusi bersama Kota Kinabalu Christmas Celebration 2022, Reverend Datuk Ir. Jerry W.A Dusing; Pengarah Eksekutif YTL Communication Sdn Bhd yang juga penaja rasmi Acara sambutan perayaan Krismas 2022 dan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

Mangsa samun ditetak, patah tulang, luka lengan kanan dan kiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya