AIM Wilayah Sabah capai kutipan pembiayaan melebihi sasaran tahun lalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 4 Second

SANDAKAN : Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Sabah berjaya mencapai kutipan pembiayaan sebanyak RM320 juta pada tahun lalu.

Pengurus Kanan AIM Wilayah Sabah Jahinin Siman berkata, jumlah ini melebihi sasaran yang disasarkan iaitu sebanyak RM227 juta.

“Kita hanya mensasarkan kutipan pembiayaan sebanyak RM227 juta tetapi ianya telah melebihi sasaran sebanyak 141 peratus iaitu RM320 juta.

“Jumlah itu juga meningkat sebanyak 88 peratus berbanding kutipan pembiayaan sebanyak RM170 juta pada 2021 dan RM124 juta pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa air pasang besar di Kampung Forest Sandakan yang melibatkan lapan sahabat usahawan AIM Sandakan.

Sumbangan adalah berupa bantuan barangan dapur dan wang tunai yang disampaikan di Pejabat Kelab Usahawan AIM Sandakan (KUSIS) di sini baru-baru ini.

Jahinin berkata, AIM Wilayah Sabah juga turut mencatat penurunan tunggakan pembiayaan daripada lima peratus pada 2020 kepada 1.4 peratus pada 2021 dan hanya 0.6 peratus pada tahun lalu.

“Ini menunjukkan trend bayaran tunggakan pembiayaan menurun dan erti kata lain kadar bayaran balik meningkat kepada 99.4 peratus.

“Sebanyak 10 daripada 22 cawangan AIM telah berjaya mencatatkan kadar bayaran balik 100 peratus pada tahun lalu,” katanya.

Antara cawangan yang berjaya mencatat kadar bayaran balik 100 peratus ialah cawangan Kunak; Tawau; Semporna; Lahad Datu; Telupid; Ranau; Kundasang, Tenom dan Kuala Penyu. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *