Keluarga mohon bantuan kesan lelaki warga Brunei hilang di Kota Kinabalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Polis sedang giat mengesan keberadaan seorang lelaki warganegara Brunei dipercayai hilang di sekitar Kota Kinabalu sejak 20 Disember tahun lalu selepas dilaporkan sehingga kini belum pulang ke rumahnya di Brunei.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, pada 25 Disember 2022 jam lebih kurang 9.25 pagi, seorang pengadu telah membuat laporan polis menyatakan bahawa abangnya AK Muhammad Abdullah Pg Ali berusia 29 tahun, warganegara Brunei belum balik ke rumah mereka di Brunei.

“Menurut pengadu, abangnya (orang hilang) bersama tiga orang rakannya telah pergi ke Kota Kinabalu Sabah untuk mengikuti acara Hobbycon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu.

“Siasatan awal pada 24 Disember 2022 jam lebih kurang 10 pagi bertempat di alamat Kg. Parit Jln Mulaut Limau Manis Pengkalan Batu Muara Brunei, pengadu bersama ahli keluarga menunggu kepulangan abangnya kerana abangnya memaklumkan akan balik pada 20 Disember 2022 melalui Jalan Feri Menumbuk-Labuan-Brunei, namun sehingga laporan dibuat abangnya belum dapat dikesan,” kata Kalsom dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Kalsom, ahli keluarga telah menghubungi telefon bimbit dan menghantar pesanan whatsapp namun tidak dapat dihubungi.

Katanya, kali terakhir abangnya dilihat pada 19 Disember 2022 di Kedai Tabletop Arena 5-206, 2nd Floor, 1 Borneo Hypermall Jalan Sulaman, Kota Kinabalu semasa berurusan jual beli kad permainan dengan pemilik kedai.

Sehubungan dengan itu, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan orang hilang tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu ASP Norul Azlan Mohamad Nawi (Ketua Polis Balai Kota Kinabalu) ditalian 010-9300777 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *