HomeIsu tempatanCubaan seludup barang kawalan ke negara jiran gagal

Cubaan seludup barang kawalan ke negara jiran gagal

Read Time:1 Minute, 13 Second

KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot pam yang cuba menyeludup keluar barang kawalan ke negara jiran, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, sekitar jam 2.50 pagi semalam, pihaknya berjaya menahan dan memeriksa sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran yang sarat dengan muatan di posisi garis lintang 0654.904 Utara dan garis bujur 11716.362 Timur iaitu lebih kurang 1.1 batu nautika timur muara Sungai Tambalugu, Kudat.

Katanya, semasa diperiksa dan digeledah, terdapat dua orang lelaki warga Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah mengendalikan bot terbabit, masing-masing berusia 24 dan 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit membawa muatan barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran berhampiran.

“Antaranya, dua tong dram berwarna biru berisi minyak petrol lebih kurang 400 liter, 44 tong kecil yang juga berisi 1320 liter petrol dan 30 liter diesel,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Maurice berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM24,000 termasuk bot.

Katanya, kedua-dua suspek bersama bot dan kesemua barang rampasan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya