Dua pesakit terima kornea menerusi pendermaan organ

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Dua orang penerima telah menerima kornea (mata) menerusi satu kes pendermaan organ yang melibatkan seorang penderma berusia 38 tahun iaitu mendiang Corpermas Gugkang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, mendiang disahkan meninggal dunia melalui pengesahan ujian mati otak di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini.

“Walaupun masih dalam kesedihan di atas kehilangan ahli keluarga tersayang, pihak keluarga mendiang telah bermurah hati untuk mendermakan sepasang kornea (mata) bagi tujuan transplan kepada pesakit yang memerlukan setelah diberikan penjelasan mengenai keadaan mendiang dan pilihan tentang pendermaan organ.

“Pembedahan transplan kornea yang disumbangkan ini juga telah berjaya dijalankan ke atas dua orang penerima transplan masing-masing pada 10 dan 11 Januari lalu di HQE,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Rose Nani berkata, kedua-dua orang penerima tersebut kini stabil dan dalam proses pemulihan.

Katanya, pihaknya merakamkan ucapan takziah dan penghargaan serta terima kasih kepada keluarga penderma kerana memberikan sebuah sinar harapan baru kepada pesakit yang memerlukan melalui anugerah kehidupan ini.

“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, pihaknya juga berharap agar lebih ramai masyarakat tampil mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera untuk membantu pesakit-pesakit yang memerlukannya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *