Program Komuniti beri pendedahan pelajar bekerjasama dan memahami sesebuah komuniti – Dr Wanda

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

SANDAKAN: Seramai 22 orang pelajar Program Kerja Sosial daripada Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai Program Komuniti Siri 2/2023 selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari lalu, bertempat di Kampung Tinusa 2, di sini.

Ketua Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Dr. Wanda Kiyah Anak George Albert berkata, program bersama penduduk Kampung Tinusa 2 yang dilaksanakan adalah bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk bekerjasama dan memahami sesebuah komuniti.

“Selain itu ia juga bertujuan untuk membantu komuniti tempatan mengenal pasti, merancang dan membuat tindakan bagi memenuhi keperluan mereka dengan mendedahkan mereka dengan bantuan sumber-sumber dan perkhidmatan yang terdapat di dalam komuniti mereka.

“Pendedahan kepada perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh profesion kerja sosial ini dapat membantu komuniti tempatan berfungsi dengan lebih efektif, berkemampuan dan berkeupayaan mendapatkan apa yang diperlukan oleh mereka berdasarkan kepada permasalahan yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, beliau turut menyatakan program tersebut melibatkan pelajar tahun pertama dan kedua selain pelajar tahun akhir dalam fakulti terbabit.

Katanya, menerusi program ini, beliau berharap sedikit sebanyak dapat mendedahkan pelajar dengan praktis kerja sosial sebenar yang dijalankan bersama komuniti dan seterusnya mampu menjadikan komuniti atau masyarakat cakna kepada profesion kerja sosial.

Sementara itu, Ketua Kampung Tinusa 2, Norsidy Lumby dalam kenyataan yang sama menyatakan program berkenaan yang julung kalinya di dalam kawasan pantai timur khususnya daerah Sandakan telah berjaya mengeratkan silaturahim antara komuniti kampung itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *