Banjir : 38 mangsa dipindahkan di Kampung Sibaung Pitas

Read Time:58 Second

KOTA KINABALU : Seramai 38 orang mangsa yang terjejas banjir di Kampung Sibaung Pitas berjaya diselamat dan dipindahkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir itu kira-kira jam 6.18 petang semalam.

“Semua mangsa terlibat adalah seramai 38 orang daripada sembilan buah keluarga dan telah dipindahkan ke Surau berhampiran.

“Mereka yang terlibat terdiri daripada 13 orang lelaki dewasa; 10 wanita dewasa; tujuh kanak-kanak lelaki; tujuh kanak-kanak perempuan dan seorang bayi,” menurut kenyataan itu di sini pagi ini.

Menurut jurucakap JBPM Sabah lagi, jarak ke lokasi kejadian adalah sejauh 50 kilometer.Katanya, operasi ditamatkan pada jam 9.57 malam semalam.

Dalam perkembangan lain, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Paitan berikutan banjir yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, antara PPS yang dibuka ialah di Dewan Kampung Kubambangan dan Dewan Kampung Batangon Darat.

PPS yang mula dibuka kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam telah menempatkan seramai 77 mangsa daripada 19 Ketua Isi Rumah (KIR) di dua PPS berkenaan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.