Banjir di Sabah semakin pulih, tujuh PPS ditutup

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:53 Second

KOTA KINABALU: Situasi banjir di negeri ini semakin pulih di beberapa buah daerah dengan mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir seramai 1,723 orang daripada 673 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat jam 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan ketara berbanding 2,639 orang daripada 927 KIR pada jam 4 petang tadi.

“Penurunan jumlah itu juga menyaksikan tujuh pusat penempatan sementara (PPS) di dua buah daerah ditutup sepenuhnya hari ini selepas paras air mula menurun petang tadi.

“Antara PPS yang ditutup adalah di Pusat Komuniti Masyarakat Daerah Kecil Paitan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Nipis Paitan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu, lima lagi PPS di Pitas yang ditutup sepenuhnya petang tadi ialah di SK Salimpodon; Dewan Kampung Sinukab; Dewan KBS; SK Dandun dan Masjid Kampung Senaja.

Bagi daerah Paitan, sebanyak lima PPS masih dibuka bagi menempatkan seramai 333 mangsa; Pitas empat PPS (1,348 mangsa) dan Lahad Datu satu PPS (42 mangsa).

Trend situasi semasa banjir di negeri ini mencatat penurunan jumlah mangsa di PPS. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *