Pasukan selam MAWILLA 2 laksana SALVAGE ke atas bot Ronda ATB 2

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

SANDAKAN : Cawangan Selam Unit 2, Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) berjaya melaksanakan Operasi Penimbulan (Salvage) ke atas sebuah Bot Ronda milik Angkatan Bersama 2 (ATB 2) yang terlibat dengan insiden karam dipukul ombak besar di sekitar perairan Pulau Berhala pada 25 Januari lalu.

MAWILLA 2 dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerimamaklumat awal berhubung insiden berkenaan dari Markas Angkatan Bersama 2 (Mk ATB 2).

Menurut kenyataan itu, kesemua krew bot telah berjaya diselamatkan oleh pihak Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan tersebut.

“Pihak MAWILLA 2 seterusnya telah mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan Operasi Carilamat (SAR) dan Salvage dalam usaha mencari seterusnya menimbulkan bot tersebut.

“Pada keesokkan harinya iaitu sekitar jam 8.30 pagi, pihak Mk ATB 2 telah memaklumkan bot karam tersebut telah ditemui di sekitar perairan Pulau Berhala dalam keadaan hampir karam sepenuhnya.

“Pasukan Selam MAWILLA 2 telah diaturgerakkan menaiki Bot Tempur 215 bagi melaksanakan Operasi Salvage ke atas bot tersebut,” menurut kenyataan itu di sini kelmarin.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kerja-kerja pelaksanaan operasi telah mengambil masa selama dua jam untuk berjaya menimbulkan bot tersebut yang seterusnya ditunda ke Jeti Batu Sapi (JBS), Sandakan.

Tambahnya, tindakan pantas hasil kerjasama erat semua agensi keselamatan terlibat jelas mempamerkan kecekapan dan tahap professionalisme pasukan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi dalam menangani sebarang kemungkinan yang tidak diduga.

“Selain itu, usaha ini juga secara tidak langsung mempamerkan kesiapsiagaan Pasukan Selam TLDM yang sedia diaturgerak pada sebilangan masa dalam melaksanakan operasi SAR dan Salvage.

“Syabas kepada semua warga pasukan keselamatan terlibat yang telah berganding bahu menggembleng tenaga menyumbang bakti dalam operasi ini,” tambahnya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *