KPDN Sabah laksana ‘Ops Samar’ periksa, siasat restoran jual makanan mahal

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU : Sebuah restoran di kawasan Foh Sang di sini telah diperiksa dan disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah semalam berhubung aduan harga makanan yang mahal selain turut tular di media sosial.

Berikutan itu, sepasukan anggota penguatkuasa KPDN Sabah telah melaksanakan pemeriksaan dan siasatan menerusi Ops Samar.

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, semasa pemeriksaan, dua anggota berpakaian premah telah membuat ‘test purchase’ terhadap makanan dan minuman yang diadu sebelum anggota pemeriksaan lain yang beruniform hadir untuk menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan mendapati tanda harga di restoran tersebut tidak lengkap dan tidak menyatakan caj tambahan bagi makanan yang ingin ditambah oleh pelanggan.

“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati restoran tersebut gagal meletakkan tanda harga bagi dua jenis minuman tin jenama Malta dan Anglia yang dijual di premis tersebut.

“Sebagai tindakan lanjut restoran tersebut telah di kompaun serta merta sebanyak RM200 atas kesalahan di bawah Per. 5 PKHAP, Sub Per. 2(1) (PHBB&CBP) 2022, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga barangan yang dijual,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, restoran tersebut juga telah dinasihati supaya mengemaskini senarai harga makanan dan minuman yang ditawarkan agar lebih jelas.

Selain itu katanya, pemilik premis juga diminta untuk menambah dan mempamerkan senarai harga makanan dalam Bahasa Melayu selain dalam Bahasa Cina yang sedia ada.

“Pemantauan lanjut akan diteruskan dari semasa ke semasa terhadap restoran tersebut bagi memastikan peniaga sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan.

“KPDN Sabah ingin mengingatkan kepada semua peniaga supaya sentiasa patuh terhadap undang-undang yang telah dikuatkuasakan oleh Kementerian,” katanya.

Dalam pada itu, Georgie berkata, mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti yang ditetapkan.

Katanya, KPDN Sabah sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga.

“Pengguna juga diingatkan supaya menggunakan hak mereka untuk mendapatkan resit belian daripada peniaga. Sekiranya peniaga gagal memberikan resit, pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan yang telah disediakan,” katanya.- SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *