HomeUtamaPersatuan Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah alu-alukan kemasukan ramai ahli menyertainya -...

Persatuan Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah alu-alukan kemasukan ramai ahli menyertainya – Rosalind

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Para setiausaha yang masih berkhidmat di jabatan-jabatan kerajaan di negeri ini dialu-alukan menyertai dan menjadi ahli dalam Persatuan Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SSS).

Pengerusi SSS, Rosalind @ Roslina Bumpin.

Pengerusi SSS, Rosalind @ Roslina Bumpin berkata, persatuannya mengalu-alukan kemasukan lebih ramai kakitangan awam kerajaan yang bergelar setiausaha untuk menyertai persatuan itu kerana mereka boleh bertukar-tukar informasi dan pengalaman di antara setiausaha-setiausaha Perkhidmatan Awam di negeri ini dan ini menjadikan mereka lebih kreatif dalam melakukan tugasan seharian.

“Setiausaha mencerminkan imej jabatan, kita mahu setiausaha itu bukan sahaja bekerja di pejabat dengan mengambil trengkas, mengangkat telefon dan sebagainya tetapi kita mahu setiausaha ini mempunyai pengalaman yang luas, lebih aktif dan mereka boleh berfikir secara kreatif selain daripada menjalankan tugas-tugas harian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Santai Makan Tengahari Sambutan Hari Krismas, Tahun Baharu 2023 dan Tahun Baru Cina Persatuan Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah di Palace Hotel, di sini hari ini.

Menurut Rosalind, program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim dan bertukar-tukar informasi di antara Setiausaha-setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

Katanya, selama ini para setiausaha hanya berkenalan melalui telefon sahaja dan jarang berjumpa maka dengan adanya program sedemikian akan mengeratkan lagi hubungan silatirrahim antara mereka.

“Kami hanya berjumpa kalau ada kursus-kursus seperti kursus anjuran Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN) Sabah, itu pun kalau ada, yang diadakan setahun sekali barulah di situ kami berjumpa dan berkenalan,” ujarnya.

MERIAH…Hari ulang tahun kelahiran ahli-ahli turut diraikan selain pelbagai acara turut diadakan semasa majlis itu.

Beliau berkata, Persatuan SSS beroperasi sejak tahun 2020 setelah mendapat kelulusan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menubuhkannya.

“Setakat ini seramai 70 ahli yang berdaftar dan menyertai dalam persatuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rosalind juga turut menyatakan bahawa acara yang diadakan pada hari ini merupakan acara yang pertama sejak penubuhannya dan akan menjadi acara tahunan persatuan itu.

“InshaAllah ia akan menjadi acara tahunan persatuan kami, dan saya telah mengarahkan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) kami untuk membuat program iaitu tentatif aktiviti sepanjang tahun bagi memudahkan kami menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang.

“Antara aktiviti-aktiviti termasuklah mengadakan kursus yang membina untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang kesetiausahaan dengan kerjasama persatuan kami sendiri.

“Persatuan ini juga telah merancang untuk program Ramadan iaitu membuat bubur lambuk dan akan diagihkan kepada yang memerlukan.

“Kami juga merancang akan mengadakan majlis Hari Raya Aidfitri dan Pesta Kaamatan secara serentak seperti majlis hari ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya