Majlis Penasihat Buruh Sabah ditubuh, bincang pelaksanaan pindaan terbaharu RUU Ordinan Buruh Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 42 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Satu Majlis Penasihat Buruh ditubuhkan bagi membincangkan pelaksanaan pindaan terbaharu Rang Undang-undang Ordinan Buruh Negeri Sabah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia
Mustapha Sakmud.

Timbalan Menteri Sumber Manusia
Mustapha Sakmud berkata, kementeriannya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) hari ini, telah mengadakan mesyuarat dan membentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Sabah dan kepada Majlis SME Sabah tentang Pindaan Ordinan Buruh Sabah yang telah juga dibentang kepada Kabinet Negeri.

“Dalam perbincangan hari ini kita telah bersepakat untuk menubuhkan Sabah Labour Advisory Council (Majlis Penasihat Buruh Sabah) atau Sabah Labour Council, dan kita akan adakan mesyuarat dalam masa yang terdekat supaya kita boleh bincang tentang pelaksanaan pindaan terbaharu Rang Undang-undang Ordinan Buruh Negeri Sabah ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang telah mengambil kira pindaan ini untuk perbincangan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pembentangan Pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) di Pejabat KSTI, Wisma Bandaraya di sini hari ini.

Menurut Mustapha, Mesyuarat Jemaah Menteri siri 17/2022 bertarikh 19 Oktober 2022 telah meluluskan Cadangan penambahbaikan Dasar Kerajaan – Pindaan Rang undang-undang Ordinan Buruh [Sabah Bab 67].

Katanya, Jabatan Tenaga Kerja Sabah telah menghantar dokumen dan rang undang-undang Cadangan Pindaan Ordinan Buruh [Sabah Bab 67] kepada Bahagian Dasar kementerian Sumber Manusia untuk dibentang kepada Mesyuarat Parlimen tahun 2023.

“Tujuan Cadangan Pindaan Ordinan Buruh [Sabah Bab 67] adalah untuk menyeragam peruntukan undang-undang perburuhan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, meningkatkan dan menambahbaik perlindungan serta kebajikan pekerja-pekerja di negeri Sabah dan memastikan undang-undang buruh negara adalah menepati kehendak Konvensyen dan instrumen Perburuhan Antarabangsa yang lain,” katanya.

Beliau berkata, cadangan Pindaan Ordinan Buruh [Sabah Bab 67] ini meliputi semua pekerja swasta di negeri Sabah tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.

“Semua pekerja sektor swasta yang memasuki kontrak perkhidmatan mendapat perlindungan dan manfaat daripada Ordinan Buruh [Sabah Bab 67],” jelasnya.

Menurutnya terdapat 16 perkara dicadangkan iaitu pindaan utama termasuklah memperkukuhkan peruntukan berkaitan dengan liabiliti pembayaran gaji (Prinsipal kontraktor, subkontraktor atau kontraktor untuk buruh jika gaji tidak dibayar oleh majikan kepada pekerja, maka liabiliti pihak yang berkontrak. Memasukkan bab gangguan Seksual. Larangan Diskriminasi dalam pekerjaan. Larangan Buruh Paksa dalam Pekerjaan. Menyelaraskan Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 kedalam bab khusus SLO dengan memasukkan tafsiran “light Work”, “Age of admission” dan senarai “hazardous work”. Perlindungan semasa mengandung (larangan memberhenti pekerja wanita sedang hamil). Meningkatkan tempoh kelayakan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari (14 minggu).
Cuti paterniti tujuh hari. Maksimum waktu bekerja 45 Jam seminggu.
Pembayaran upah melalui bank atau institusi kewangan. Aturan kerja fleksibel. Memasukkan peruntukan khusus mengenai standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja. Meningkatkan panalti dan hukuman (Denda dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000. Hukuman penjara dinaikkan daripada 6 bulan kepada 2 tahun. Kesalahan berulang sebanyak RM100,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya sekali).

Beliau juga turut memaklumkan pembentangan Pindaan Rang undang-undang Ordinan Buruh [Sabah Bab 67] kepada mesyuarat Parlimen oleh Menteri Sumber Manusia adalah dalam jangkaan pertengahan pertengahan tahun 2023.

Sehubungan dengan itu, Mustapha berharap agar pindaan terbaharu itu akan dapat diselaraskan di antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, majikan, dan juga pekerja dari sudut aspek perlaksanaannya.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *