HomeUtamaWanita disaran laku pemeriksaan awal payudara

Wanita disaran laku pemeriksaan awal payudara

Read Time:1 Minute, 52 Second

PUTATAN: Golongan wanita diminta menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai amalan baharu bagi meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, golongan wanita perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi membolehkan perkembangan kesihatan mereka dipantau.

Menurut beliau, golongan wanita perlu menjaga kesihatan dari awal termasuk melakukan pemeriksaan payudara bagi mengekang kelewatan aspek perawatan.

“Kanser payudara tidak boleh dipandang remeh kerana penyakit itu merupakan pembunuh utama wanita dengan risiko lima kali ganda kepada wanita yang mempunyai sejarah iaitu ibu atau adik beradik perempuan sebagai penghidap kanser payudara.

“Melalui pemeriksaan berkala, seseorang wanita itu bukan sahaja dapat mengesan lebih awal sebarang kemungkinan kanser malah mendapatkan rawatan awal yang amat penting dalam menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Pemantapan Pentadbiran anjuran Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah di Platinum Hotel Putatan baru-baru ini. Bengkel dua hari dihadiri 14 orang peserta.

Hadir sama Presiden Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah, Lawrence Libur Imui, Pengerusi Penganjur Tinah Norjana serta 17 orang penyelaras daripada seluruh Sabah.

Beliau berkata, golongan paling tinggi berisiko menghidap penyakit ini adalah kumpulan umur 40 hingga 49 tahun dan 50 hingga 59 tahun.

Katanya, sikap tidak ambil tahu, pengetahuan yang cetek mengenai kanser serta lewat mendapatkan rawatan menjadi punca kepada peningkatan kadar kematian dalam kalangan wanita di negeri ini.

“Kanser menjadi punca utama kematian dan kecacatan yang memberi kesan kepada lebih daripada 14 juta orang setiap tahun dan statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan kira-kira 100 ribu rakyat menderita kerana kanser,” katanya.

Redonah berharap setiap anggota masyarakat dan agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu Kementerian Kesihatan dengan menganjurkan kempen kesedaran mencegah kanser payudara.

Sehubungan itu, beliau berkata, amat penting bagi kaum wanita mengawasi kesihatan diri dengan menjalani pelbagai jenis pemeriksaan kesihatan, bukan sahaja untuk diri  sendiri tetapi juga keluarga.

Jelasnya adalah amatlah malang kealpaan kaum wanita dalam menjaga kesihatan ini, akan berakhir dengan tragedi yang paling buruk.

“Perubahan cara hidup dan persekitaran yang dialami masyarakat negara ini di samping bertambahnya bilangan penduduk yang telah lanjut usia dikatakan adalah antara penyebab utama peningkatan penyakit kanser dan ini termasuk kanser pangkal rahim ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya