Pembudayaan STIE di kalangan pelajar akan terus diperkasakan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan pelajar khususnya di Sabah akan terus diperkasakan pada tahun ini bagi menarik minat golongan itu dalam bidang ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, pelajar Malaysia yang mengambil jurusan Sains adalah kurang 40 peratus berbanding sasaran negara mencapai tahap 60 peratus.

Katanya, ia adalah berdasarkan kepada kajian yang dijalankan oleh Akademi Sains Malaysia.

“Masih ramai pelajar menganggap Sains sebagai satu bidang yang sukar. Di peringkat persekutuan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menggubal Pelan Tindakan STEM Nasional 2017-2025.

“Kerajaan Negeri juga memandang serius ke atas senario ini dan sesungguhnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) berada di landasan yang tepat di mana program-program pembudayaan STIE dan kepentingannya dilaksanakan secara konsisten setiap tahun.

“Saya berharap agar KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat melahirkan satu pelan tindakan bersepadu bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) di sini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Harun Durabi dan Setiausaha Tetap KSTI Datuk Zainuddin Aman.

Mohd Arifin berkata, tumpuan juga perlu terus diberikan ke atas pembangunan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Katanya, revolusi ini akan memberi impak kepada cara hidup selain daripada memacu pembangunan dalam setiap bidang.

“Program Rintis Digital IoT Sandbox yang bertujuan untuk merancakkan pembangunan inovasi dan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang STIE adalah salah satu inisiatif kementerian yang dapat membantu belia mendepani Revolusi IR4.0.

“Program Rintis Digital IoT Sandbox merupakan yang pertama di Borneo dan kelapan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Arifin berkata, pihaknya berharap agar para inovator muda akan mengambil peluang untuk mengembangkan idea inovasi melalui Sandbox KSTI.

“Kita bekerjasama dengan MAGIC dan MRANTI untuk melahirkan innovator bertaraf dunia. Ia akan menjadi ‘game changer’. Sabah melahirkan inovasi yang akan diguna pakai oleh masyarakat global.

“Pembangunan modal insan amat penting untuk memastikan kelangsungan pembangunan negeri. Ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting untuk menyokong aktiviti berintensifikan teknologi dan inovasi, bagi memenuhi ‘supply and demand’ industry,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *