55 murid Sekolah Rendah dan Tadika Advent Tamparuli diraikan dalam majlis graduasi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

TAMPARULI: Seramai 55 murid Sekolah Rendah Advent Tamparuli (SRAT) dan Tadika Advent Tamparuli (TAT) diraikan dalam majlis graduasi yang berlangsung di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Kanopi SRAT itu menyaksikan 34 murid yang menamatkan tahun enam diraikan bersama 21 orang murid yang tamat tadika di TAT.

Perarakan keluar murid tahun 6 SRAT dan tadika TAT

Majlis perasmiannya disempurnakan Pengarah Pendidikan Seventh-Day Adventist Mission Sabah, Octavius Guling.

Hadir sama, Presiden Seventh-Day Adventist Mission Sabah, Feldinand Sawanai; Pengerusi Lembaga Pengarah SRAT, Dr. Suhaibun Gisin; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SRAT, Teddy Romeoz Donald; dan Guru Besar SRAT Florence Rojiin.

Dalam ucapannya Octavius merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa yang sentiasa berdedikasi dan memberi komitmen yang tinggi bersama pihak sekolah untuk memastikan anak-anak terus mendapat pendidikan yang seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani.

“Seiring dengan misi ‘Strive To Be The Best’, sekolah ini sudah tentunya ingin terus melahirkan pelajar-pelajar yang terbaik dan seimbang dalam pelbagai bidang.

Salah seorang murid tahun enam yang diraikan.

“Dan sukacita saya umumkan bahawa nilai Kejujuran dan Kebenaran akan menjadi teras dalam penjenamaan baharu sekolah – sekolah Advent di seluruh Sabah.

“Ini bermakna, setiap pelajar yang keluar atau menjadi alumni sekolah ini telah dipersiapkan dengan sifat jujur dan memahami aspek kebenaran,” katanya.

Octavius turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada para murid yang berjaya menamatkan pendidikan di peringkat SRAT dan TAT.

“Saya mendoakan agar semua murid akan terus sukses dan sentiasa diberikan kesihatan yang baik.

“Bagi para murid tahun enam SRAT, kita mengalu-alukan anda semua untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT). Bagi pelajar TAT, kita sentiasa dengan tangan terbuka menerima anda ke SRAT,” tambahnya.

Yang turut hadir Pengelola TAT, Elvica Lynn Wilson, dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRAT, Salbinous Saribun. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *