Sabah peruntukkan RM97.5 juta untuk pembangunan belia dan sukan tahun ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM97.5 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk pembangunan belia dan sukan, menaik taraf kemudahan sukan dan penyediaan pengajian sains sukan pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini mencerminkan Kerajaan Negeri komited untuk memajukan pembangunan sukan di Sabah.

“Sebagai Ketua Menteri Sabah, saya mahu melihat Sabah melahirkan lebih ramai atlet yang hebat dan ahli sukan yang akan membawa kegemilangan sukan kepada negeri dan negara kita.

“Ramai yang telah cemerlang dan membanggakan Sabah dan daerah di peringkat kebangsaan serta di
arena sukan antarabangsa,” katanya pada pelancaran media Kejohanan Ragbi Borneo Sevens 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata, tumpuan juga perlu diberikan kepada sukan seperti ragbi supaya bakat muda boleh ditemui dan diolah.

“Sabah, seperti yang kita sedia maklum sudah pun menjadi salah satu ‘power-house’ sukan ragbi di Malaysia dan saya amat berbangga kerana pasukan ragbi lelaki Sabah telah cemerlang dan berjaya memenangi
sebanyak lima kali dalam Kejohanan Piala Agong yang berprestij setakat ini. Ini petanda baik untuk sukan ragbi di negeri ini dan saya ingin melihat pasukan ragbi kita melonjak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Ketua Menteri berkata bersama Sabah Rugby Union dan Eagles Rugby Club antara perintis dalam melaksanakan teknik dan modul terkini dalam pembangunan sukan, beliau boleh meramalkan masa depan yang baik untuk permainan di sini.

“Saya gembira mengetahui bahawa pertubuhan Ragbi Sabah telah menetapkan standard dalam sukan
pembangunan yang patut dicontohi ramai,” katanya dan yakin pengurusan ragbi Sabah mempunyai kemampuan.

“Dengan kehadiran pasukan luar negara ternama dan pasukan terbaik Malaysia beraksi, peminat sukan khususnya peminat ragbi akan dijamu dengan kecemerlangan ragbi
pada Mac akan datang ini.

“Saya yakin Borneo Sevens akan terus berkembang, berprestij untuk menjadi acara teras dalam kalendar kejohanan untuk semua pasukan ragbi di rantau ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *