12 keluarga terjejas kejadian tanah runtuh di Kg Lembah Permai dinasihatkan untuk berpindah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 38 Second

RANAU: Sebanyak 12 keluarga di Kampung Lembah Permai dinasihatkan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat berikutan kejadian tanah runtuh baru-baru ini.

“Kalau keadaan tidak selamat maka mereka dinasihatkan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat secepat mungkin,” kata Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Kundasang merupakan sebuah kawasan tanah tinggi dan sangat cenderung dengan kejadian tanah runtuh serta sentiasa mengalami pergerakan tanah.

Baru-baru ini, satu kejadian gelinciran tanah atau tanah runtuh (aliran puing) berlaku di kampung tersebut melibatkan 12 keluarga yang terjejas teruk. Sementara itu, penduduk yang lain diarah untuk berjaga-jaga.

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menasihati semua penduduk agar sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Ranau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi dan Bencana (PKOB), Jumain Abdul Ghani atas kerjasama dan tugas yang telah dilaksanakan.

Sementara itu, Jumain berkata, kejadian aliran puing tersebut adalah dicetus oleh hujan lebat ke atas cerun yang mempunyai lapisan tanah dengan batuan retak.

Beliau menjelaskan, lapisan yang sentiasa mengalami pergerakan tanah ini membekalkan serpihan batuan bersama tanah ke dalam saliran cerun bermula daripada tanah runtuh tebing saliran atau sedimen mudah terangkut yang masih berada di bahagian atas cerun.

Oleh itu, katanya, atas pemantauan bersepadu bersama dengan semua ahli Jawatankuasa PKOB, penduduk di kawasan terjejas dinasihati untuk sentiasa bersiap siaga dan berpindah sekiranya perlu.

Usaha mencari tapak baharu untuk penempatan penduduk kampung yang terjejas juga sedang diusahakan, tambahnya.

Selain itu, pelaporan dari pemimpin kampung berkaitan dengan situasi semasa kampung perlu dihantar kepada PKOB setiap lima (5) jam.

Jumain mengucapkan terima kasih kepada anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) atas komitmen yang diberikan, dan juga berharap agar penduduk Kg. Lembah Permai akan bekerjasama dalam melancarkan proses perpindahan.

“Penduduk juga perlu berhubung dengan PKOB khususnya APM dan memberi kerjasama bagi melancarkan proses pemindahan,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *