Liverpool belasah Man United di Anfield

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

AFP
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Liverpool: Liverpool mendapat bayangan masa depan yang cerah selepas membelasah Manchester United 7-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield.

Roberto Firmino masuk sebagai pemain gantian untuk melengkapkan kekalahan memalukan buat anak buah Erik ten Hag, yang hanya tewas sekali dalam 22 perlawanan sebelum ini.

Dalam minggu yang menyaksikan pemain Brazil itu bakal meninggalkan Liverpool akhir musim ini, gandingan baharu The Reds di bahagian serangan – Cody Gakpo, Darwin Nunez dan Mohamed Salah menunjukkan keberkesanan dengan masing-masing meledak dua gol.

Sebelum ini trio dibarisi Salah, Firmino dan Sadio Mane berjaya menjulang Liverpool di peringkat domestik dan Eropah di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Selepas Mane menyertai Bayern Munich, Liverpool bergelut musim ini dan hanya berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris dan pembelian Nunez serta Gakpo yang menelan belanja tinggi mula dipersoalkan.

Kini kedua-dua pemain itu menikmati hari terbaik dalam karier mereka di Liverpool dan pada masa sama membuktikan kehadiran mereka tidak sia-sia.

“Kami membuktikan malam ini apa yang kami mampu lakukan, dan ia akan diteruskan bermula sekarang. Kami tidak bercakap tentang jumlah jaringan, tetapi berkenaan persembahan,” kata Klopp.

Lebih memedihkan buat United ialah kedua-dua pemain itu pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, dengan keutamaan Ten Hag pada jendela perpindahan musim panas ini ialah mencari penyerang utama.

Gakpo dilihat sebagai sasaran utama selepas Ten Hag tampak lebih cenderung mencari pemain berpangkalan di Belanda dengan menandatangani Antony, Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia.

Bagaimanapun Liverpool mula menuai hasil selepas terlebih dahulu mendapatkan penyerang Belanda itu dari PSV Eindhoven pada Januari, susulan persembahan cemerlangnya di Piala Dunia Qatar.

Gakpo menyempurnakan dua percubaan menarik untuk menewaskan David de Gea di setiap babak. Pemain 23 tahun itu sudah meledak empat gol dalam enam perlawanan terakhirnya.

Ketumpulan Nunez menyumbang kepada permulaan perlahan Liverpool musim ini, tetapi penyerang Uruguay itu menunjukkan penguasaannya di udara dengan meledak dua gol menerusi tandukan dan melebarkan jaringannya kepada 13 gol musim ini.

Salah terus mengekalkan aksi konsisten bersama Liverpool dan mencatat satu lagi rekod baharu untuk mengukuhkan namanya sebagai legenda kelab.

Bintang Mesir itu kini adalah penjaring terbanyak Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan 129 gol.

“Mo Salah mencapai sesuatu yang amat istimewa. Kita tidak boleh lupakan hakikat itu. Dia seorang pemain dan insan yang amat istimewa,” kata pengendali dari Jerman itu. – AFP

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *