Kerjasama sistematik antara sekolah, PIBG dan PDRM mampu tangani masalah salah laku sosial pelajar – Idris

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

PUTATAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat prihatin tentang masalah sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan generasi muda, khususnya dikalangan pelajar sekolah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, berkata dalam hal ini, kerjasama yang tersusun dan bersistematik di antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa (PIBG) dan PDRM dilihat mampu membendung isu salah laku sosial, dadah dan perlakuan jenayah daripada terus menular.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Program Kepolisan Komuniti Program First Day At School Pesuruhjaya Polis Sabah yang julung kalinya diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Petagas dekat sini, hari ini.

Program itu adalah kolaborasi PDRM dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sabah bagi menangani permasalahan disiplin serta salah laku pelajar melalui peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Inisiatif yang dilaksanakan sejak tahun 1974 ini sentiasa ditambah baik mengikut keadaan dan keperluan semasa, serta amat relevan dan signifikan dalam proses pembentukan sahsiah serta jati diri insan di peringkat awal persekolahan lagi.

Menurut Idris, mengikut statistik jenayah yang dilaporkan bagi bulan januari hingga disember tahun 2022, seramai 160 orang pelajar telah ditangkap kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah iaitu melibatkan 140 orang pelajar lelaki dan 20 orang pelajar perempuan.

“Daripada jumlah besar itu, antara kes yang melibatkan ramai pelajar terlibat adalah dalam kes merusuh (Sek 147/148 KK) atau gaduh gempar yang melibatkan seramai 55 orang iaitu 48 orang pelajar lelaki dan tujuh orang pelajar perempuan.

“Diikuti dengan kesalahan mencederakan (Sek 323 KK) seramai 21 orang iaitu 18 orang pelajar lelaki dan tiga orang pelajar perempuan, kesalahan rogol juga melibatkan seramai 20 orang pelajar lelaki dan kesalahan mencuri melibatkan seramai 14 orang pelajar lelaki dan 05 orang pelajar perempuan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 19 orang pelajar,” jelasnya.

Katanya, daripada jumlah 160 orang itu, hanya seramai sembilan orang pelajar sahaja yang telah dibebaskan tanpa syarat setelah selesai siasatan dan selebihnya seramai 149 orang telah dibebaskan atas jaminan polis yang berkemungkinan akan dituduh di mahkamah selain daripada dua orang pelajar yang telah dituduh di mahkamah atas kesalahan merusuh dan mencuri.

Justeru, Idris berkata, PPS yang dilantik bagi setiap sekolah perlu mewujudkan suasana sekolah yang aman dan selamat dengan membuat lawatan, ceramah atau sesi dialog, berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah.

“PPS juga hendaklah sentiasa bekerjasama dengan persatuan ibu bapa dan guru, serta memberikan khidmat nasihat kepada pihak sekolah berhubung dengan tindakan yang wajar diambil sekiranya berlaku sebarang kejadian jenayah melibatkan pelajar.

“Selain itu, PPS turut bertanggungjawab untuk memberikan pendedahan dan kesedaran tentang undang-undang kepada guru-guru, pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *