HomeIsu tempatanZakat penggajian sumbang 42.88 peratus kutipan zakat tahun lalu

Zakat penggajian sumbang 42.88 peratus kutipan zakat tahun lalu

Read Time:1 Minute, 33 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Zakat penggajian menyumbang sebanyak 42.88 peratus daripada jumlah keseluruhan pungutan zakat negeri Sabah bagi tahun 2022.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, sehingga 31 Januari lalu sebanyak RM122.4 juta zakat harta berjaya dikutip dengan zakat penggajian menjadi penyumbang utama kepada pungutan berjumlah RM57.2 juta.

“Manakala, zakat perniagaan merupakan penyumbang kedua terbanyak iaitu sebanyak RM45.7 juta daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat 2022 berjumlah RM133.4 juta.

“Daripada hasil kutipan zakat tersebut, sebanyak RM121.9 juta telah diagihkan kepada lapan golongan asnaf meliputi 95,250 orang sepanjang tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2022 Etiqa Takaful di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Ruslan berkata, ini menunjukkan kesedaran individu dalam menunaikan kewajipan berzakat semakin meningkat di negeri ini.

Pada majlis itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada Syarikat Etiqa Takaful yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim berjumlah RM1.7 juta kepada Timbalan Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Malai Ali Malai Ahmad.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar, Timbalan Setiausaha MUIS, Mohd Adnan Rosdin Mohd Arif, Pengarah Agensi Etiqa Wilayah Malaysia Timur, Adrian Desmond Zainal Khong, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Serantau Wilayah Sabah, Kok Siau Lun serta Eksekutif Pengurusan Syariah Etiqa, Muhammad Wafiuddin Rosli.

Dalam pada itu, Tun Juhar turut menerima kunjungan hormat Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid dan rombongan bertujuan menjelaskan kepada Tun Juhar berkenaan aktiviti MAPIM di negeri ini.

Menurut Mohd Azmi, MAPIM merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kepada kerja-kerja amal terutama dalam membantu kerajaan untuk bersama membasmi isu kemiskinan melalui tiga aspek iaitu penyediaan perumahan, pendidikan dan pekerjaan melalui kemahiran.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia catat 37 tangkapan, rampasan lebih RM1.2 juta setakat Jun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular