HomeIsu tempatan200 murid terima bantuan 'back to school' ESSCOM

200 murid terima bantuan ‘back to school’ ESSCOM

Read Time:1 Minute, 28 Second

Lahad Datu : Seramai 200 murid dari sembilan buah sekolah sekitar daerah ini menerima bantuan barangan sekolah menerusi program ‘Back To School’ yang dianjurkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu dan  Syarikat Canggih Bayu Sdn Bhd itu adalah bagi membantu meringankan beban golongan B40, asnaf, miskin tegar, ibu atau bapa tunggal yang tidak berkemampuan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Sri Tiung Suluh Budiman Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 6 ½ Segama itu telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Dr. Jamaluddin Mohd Ali.

Jamaluddin ketika berucap berkata, kenaikan kos sara hidup yang melanda seluruh dunia ekoran COVID-19 serta bencana alam menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat tidak mampu menyediakan kelengkapan atau keperluan anak-anak ke sekolah.

Katanya, keadaan itu menjadikan anak-anak tidak dapat belajar dengan selesa.

“Namun, situasi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kita meminggirkan pendidikan anak-anak kita. 

“Ini kerana, pendidikan merupakan elemen penting untuk mengubah nasib kehidupan ke arah yang lebih baik.  Melalui pendidikan anak-anak kita akan mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik seterusnya menjamin kehidupan dan masa depan yang lebih baik, ” katanya.

Justeru katanya, sebagai ibu bapa, tanggungjawab bukan hanya terbatas untuk menjaga dan membesarkan anak-anak tetapi juga harus bijak merencanakan masa depan mereka.

“Saya yakin tidak ada ibu bapa yang mahu hidup anak-anak susah dan lantaran itulah kita sewajarnya berusaha untuk mengubah nasib agar dapat hidup dengan lebih baik.

“Kepada anak-anak yang menerima bantuan pada hari ini, gunakanlah sebaik mungkin dan semoga sedikit sebanyak akan mengobarkan lagi semangat anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai impian dan cita-cita untuk berjaya dalam hidup. 

“Jadikan kepayahan hari ini sebagai dorongan dan motivasi untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya. – SABAH MEDIA. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

FSSK UMS jayakan seminar pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular