HomeUtamaBot Karam: 11 rakyat Malaysia hanyut di perairan Filipina berjaya diselamatkan KD...

Bot Karam: 11 rakyat Malaysia hanyut di perairan Filipina berjaya diselamatkan KD PAUS

Read Time:1 Minute, 24 Second

SANDAKAN: Sebelas rakyat Malaysia dipercayai mangsa kejadian bot terbalik dan hanyut di perairan Sibutu, Filipina sejak tiga hari lalu berjaya diselamatkan pasukan Kapal Diraja PAUS (KD PAUS) semalam (31 Mac).

Semalam satu kenyataan media Markas Wilayah Laut 2 Sandakan mengesahkan kejadian, katanya, Bilik Operasi Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah menerima maklumat dari Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu memaklumkan Kapal Dagang TOMINI DYNASTY telah menjumpai 11 orang warganegara Malaysia di perairan Sibutu, Filipina.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki sebelas mangsa termasuk kanak-kanak telah terbalik akibat cuaca buruk.

“Seterusnya, KD PAUS telah diatur gerak memandangkan kapal dalam penugasan Operasi Pasir Selatan di sekitar Perairan Tanjung Labian untuk melaksanakan pertemuan bersama Kapal Dagang Tomini Dynasty di posisi sekitar 8 batu nautika Selatan Tanjung Labian bagi mengambil kesemua mangsa yang terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mangsa yang dikenali sebagai Siti Naun Osman, 25, memaklumkan beliau bersama sepuluh lagi mangsa terdiri lima wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada sebelah malam 29 Mac 2023, namun bot yang dinaiki mereka telah terbalik dipukul ombak yang kuat.

“Mangsa terpaksa bertahan selama tiga hari dengan hanya duduk di atas bot yang terbalik bagi menyelamatkan diri mereka.

“KD PAUS telah membawa mangsa ke Pulau Tambisan dan di serahkan kepada Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

“KD PAUS kemudian meneruskan perjalanan kembali ke Tambatan Pangkalan Sandakan setelah selesai urusan merujuk mangsa kepada Pasukan Polis Marin Lahad Datu,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa peka dengan
keselamatan diri, penumpang dan harta benda semasa berada di laut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya