Datuk Seri Hajiji Noor

Gerakan Koperasi di Sabah bantu perkasa ekonomi negeri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di Sabah perlu mencapai kejayaan yang boleh.dicontohi, termasuk berganding bahu bersama kerajaan dan sektor swasta dalam meningkatkan ekonomi negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada segala usaha yang dijalankan oleh koperasi termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam memperkasakan lagi ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Beliau yakin sektor koperasi di Sabah mampu menjana perolehan dan memenuhi keperluan anggota serta masyarakat terutama dalam menggunakan kekayaan sumber alam semulajadi dan kekuatan tarikan pelancongan di negeri ini.

“Ia kerana di Sabah kita mempunyai banyak jenis koperasi yang membangunkan sosio ekonomi komunitii sama ada berkaitan peruncitan atau aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Moreh Ramadan ANGKASA Sabah di Hotel Hilton Kota Kinabalu, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmy Yahya.

Hajiji berkata, jumlah koperasi berdaftar di Sabah pada tahun 2022 sebanyak 1,706
buah dengan anggota seramai 343,230 orang, manakala modal syer terkumpul sebanyak RM220 juta, aset terkumpul sebanyak RM826.44 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM437.15 juta.

Menurutnya, berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia, ANGKASA sebagai badan apeks (puncak) gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan menaungi 15,315 buah koperasi pada tahun 2022, dengan seramai 7.04 juta keanggotaan.
“Manakala aset ANGKASA pula sebanyak RM156.2 Bilion dan modal syer/ yuran sebanyak RM16.5 Bilion. Perolehan gerakan koperasi sehingga 31 Disember 2021 pula mencapai RM37.9 Bilion”.

“ANGKASA telah memainkan peranan signifikan kepada pembangunan gerakan koperasi di seluruh negara termasuklah di Sabah. Amat penting usaha ini diteruskan kerana koperasi harus lebih berdaya maju dan progresif dengan aktivitinya seiring dengan keadaan ekonomi yang kian berubah, terutama selepas penularan pandemik COVID-19”, tegasnya.

Hajiji berkata, selain menawarkan perkhidmatan kewangan seperti pembiayaan dan dividen kepada anggota, koperasi turut memelihara aspek sosial termasuk antaranya
membuka peluang pekerjaan, memberi pelbagai bentuk latihan dan pendidikan termasuk keusahawan, serta memberi bantuan kepada anggota memerlukan.

Beliau yakin peranan yang boleh dibuat oleh koperasi, melalui kepimpinan ANGKASA dalam membantu rakyat khususnya dalam menjadi ejen pembasmi kemiskinan.

Katanya, perkara itu dapat direalisasikan jika koperasi dapat terlibat dalam sektor keberhasilan utama negara dan berimpak tinggi.

“Besar harapan saya untuk melihat koperasi dapat membantu dalam isu – isu rakyat,
termasuk kos sara hidup dan keterjaminan makanan yang sering diuar-uarkan oleh kerajaan”, tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *