HomeIsu tempatanNDRC UMS, NADMA perkasa kerjasama program pendidikan dan penyelidikan

NDRC UMS, NADMA perkasa kerjasama program pendidikan dan penyelidikan

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempergiat kerjasama dalam perancangan strategik baharu NDRC-UMS bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Malaysia dalam bidang pendidikan awam dan penyelidikan berkaitan pengurusan bencana alam khususnya di Sabah.

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, bidang kerjasama tersebut merangkumi Program Pengurusan Bencana yang berasaskan komuniti dalam mengurangkan impak kejadian bencana seperti banjir, tanah runtuh, banjir lumpur serta gempa bumi. 

Katanya, komuniti tempatan dilihat adalah kumpulan sasar yang paling hampir serta lebih arif dengan kawasan bencana dan peranan mereka amat penting terutamanya dalam menyumbang input yang penting dalam pemantapan blueprint pengurusan bencana negara, termasuk proses menyelamat yang betul.

“Perkara ini merupakan antara inti pati perbincangan ketika kunjungan hormat NDRC ke Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA.

“Pihak NDRC turut memberikan perkongsian beberapa kerjasama dan aktiviti yang pernah dijalankan bersama dengan pihak NADMA terutamanya dalam siri ceramah dan webinar pendidikan awam berkaitan pemerkasaan tahap kesiapsiagaan terhadap bencana alam yang berlandaskan komuniti setempat, dan juga beberapa penyelidikan yang pernah dijalankan oleh felo-felo penyelidik di NDRC yang berkaitan dengan bencana alam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA, baru-baru ini. 

Tambah Carolyn, topik utama perbincangan pada pertemuan itu antaranya cadangan kerjasama antara UMS dengan NADMA dalam bidang pendidikan bencana alam (kesiapsiagaan dan respon). 

“Satu pelan tindakan yang lebih efisien diperlukan bagi mengurangkan impak bencana dengan mewujudkan pelan persediaan awal serta kesiapsiagaan yang perlu dilakukan sebelum berlakunya kejadian bencana, dan bukannya semasa bencana itu berlaku (preparedness & response before the event and not during the event).

“Program pendidikan ini dilihat dapat memberikan pendedahan awal serta meningkatkan keupayaan kesiapsiagaan untuk komunti setempat dengan standard respon yang betul jika berlakunya bencana alam. 

“Usaha ini amat penting demi keselamatan kumpulan sasar terutamanya yang melibatkan pelajar, guru-guru, ibu bapa termasuklah penduduk tempatan dari segi penerapan dan pendedahan peringkat awal terhadap pengurusan bencana alam.

“Diharapkan kerjasama ini akan meningkatkan dasar sedia ada dalam pelaksanaan aktiviti Pengurangan Risiko Bencana (Disaster Risk Reduction) di Sabah secara amnya,” katanya.

NADMA yang diwakili oleh Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial, Roselin Rajab, menyambut baik hasrat NDRC dan amat mengalu-alukan pemerkasaan hubungan kerjasama UMS-NADMA.

Hadir sama, Pengarah Seksyen Mitigasi NADMA, Wan Marhafidz Wan Mohd Omar; Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA, Muhammad Fauzie Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA,  Mejar Wazirudin Mahfot @ Mahbott. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular