Penguasaan pelbagai bahasa mampu bantu hadapi perubahan dunia global

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Perubahan yang amat mencabar dalam dunia global kini memerlukan semua pihak merancang secara strategis, berfikiran kritis serta berkebolehan untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kemahiran bagi menguasai pebagai jenis bahasa dalam membuka peluang kepada semua untuk merangkul lebih banyak peluang yang ada.

“Kepesatan pembangunan Republik Rakyat China yang merupakan salah satu kuasa besar dunia pada masa ini telah membuka banyak peluang kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang.

“Ini temasuklah ekonomi, pendidikan dan penyelidikan di samping peluang pekerjaan yang meluas serta interaksi dengan meraka dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Bahasa Mandarin (HSK) Institut Confucius UMS di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pendaftar UMS Luqman Ridha Anwar.

Kasim berkata, hasil hubungan baik Malaysia-China, sebuah syarikat China iaitu Kibing Group telah membuat pelaburan sebanyak RM10 billion di Sabah dan ianya bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini khasnya graduan UMS.

“Institut Confucius UMS dijangka akan memainkan peranan penting untuk menawarkan latihan Bahasa Mandarin dan kefahaman budaya kepada bakal pekerja tempatan Kibing Group yang merupakan graduan tempatan UMS.

“Latihan tersebut dijangka akan mempertingkatkan koordinasi, persefahaman serta mewujudkan usaha kerjasama yang berterusan antara penduduk tempatan dan Kibing Group,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 82 pelajar berjaya menamatkan kursus Sijil Tamat Kursus Bahasa Mandarin (HSK) yang berlangsung di Galeri Majlis UMS.

Institut Confucius UMS kini menawarkan kursus Bahasa Mandarin secara percuma kepada jabatan-jabatan kerajaan negeri seperti Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Sabah) serta beberapa agensi lain termasuklah kakitangan dan pelajar UMS yang memerlukan penguasaan Bahasa Mandarin dalam membantu tugasan seharian.

Turut hadir, ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh; Pengarah CI (Malaysia), Profesor Ts. Dr. Chong Khim Phin dan Pengarah CI (China), Profesor Madya Deng Rong. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *