ESG : Menangani Perhambaan Zaman Moden

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:5 Minute, 4 Second

Oleh :- Wan Azrain Adnan

Pada 17 April 2023, Financial Times London melaporkan bahawa IKEA Malaysia telah menamatkan kontrak sebuah syarikat perkhidmatan keselamatan (security guard) kerana melanggar polisi IKEA berkenaan kesejahteraan pekerja. Ini susulan kepada siasatan IKEA yang mendapati pengawal keselamatan syarikat tersebut telah membuat pembayaran ‘recruitment fee’ untuk memperolehi pekerjaan di Malaysia.

Pengawal keselamatan terbabit, dari Nepal, telah membayar sehingga AS$1,000 (RM4,400) sebagai ‘recruitment fee’ kepada broker atau ejen pengambilan pekerja untuk mendapat pekerjaan di Malaysia.

Pembayaran ‘recruitment fee’ sebegini akan menjurus kepada situasi ‘debt bondage’. ‘Debt bondage’ berlaku apabila pekerja terbabit, selalunya dari keluarga miskin luar bandar, terpaksa berhutang untuk membayar ‘recruitment fee’ yang dikenakan oleh broker atau ejen pengambilan pekerja.

Ini bermakna sebelum mereka mula bekerja, mereka sudah pun memiliki hutang yang besar. Akibatnya, mereka terpaksa bekerja keras untuk membayar hutang tersebut, termasuklah membuat kerja overtime, agar dapat membayar hutang, menyara kehidupan serta membantu kewangan keluarga di kampung.

Malah ‘debt bondage’ telah dikenal-pasti oleh United Nations International Labour Organisation (ILO) sebagai satu indikator kepada buruh paksa (forced labour). Garis panduan ILO menyatakan bahawa pekerja tidak wajar di kenakan sebarang bayaran untuk proses pengambilan kerja.

Isu kesejahteraan pekerja sebegini adalah satu bentuk perhambaan dan perdagangan manusia zaman moden.

KESEJAHTERAAN PEKERJA DI DALAM ESG

Kesejahteraan pekerja merupakan aspek penting di dalam kerangka ESG (Environmental, Social & Governance). ESG kini di guna-pakai oleh pelbagai pihak sebagai kayu pengukur untuk menilai kebertanggungjawaban (accountability) serta etika kerja sesuatu organisasi.

Secara ringkas-nya, ESG merangkumi:
Environmental: amalan organisasi mengenai kelestarian alam sekitar
Sosial – amalan mengenai organisasi perkara berkaitan pekerja, pembekal,pengguna dan komuniti setempat
Governance – amalan organisasi mengenai perkara seperti – kepimpinan/ pengurusan syarikat, audit & kawalan dalaman, hak pemegang taruh

Isu kesejahteraan pekerja bukanlah perkara yang baru melibatkan Malaysia. Ianya telah lama di bangkitkan oleh organisasi antarabangsa dan juga tempatan. Namun begitu, isu ini terus berpanjangan tanpa satu penyelesaian yang kekal dan menyeluruh.

Pelaksanaan semula program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing antara perkara dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan perdana menteri pada 10 Jan. (Gambar Bernama)

Beberapa tahun lepas, dakwaan mengenai eksploitasi pekerja telah menyebabkan Amerika Syarikat telah mengharamkan import produk beberapa syarikat Malaysia yang terlibat di dalam sektor perladangan dan pembuatan, iaitu – Top Glove, Sime Darby Plantation dan FGV.

Pada Ogos 2020, dalam usaha untuk menyelesaikan isu tersebut, Top Glove dilaporkan akan membayar sebanyak RM 136 juta kepada pekerja asing sebagai pampasan bayaran pengambilan kerja yang telah dibayar oleh pekerja terbabit kepada ejen pengambilan pekerja atau lain-lain pihak.

Top Glove akan membayar sekitar AS 1,500 ( RM 6,231) kepada pekerja dari Nepal dan sekitar AS 4,800 ( RM 19,940) kepada pekerja dari Bangladesh.

Walaupun terpaksa membayar jumlah pampasan yang begitu besar, namun ianya merupakan satu tindakan yang perlu di ambil memandangkan pasaran Amerika Utara merupakan 27% jumlah ekspot Top Glove. Akhirnya, sekatan import ke atas Top Glove telah di batalkan selepas satu tahun pada September 2021.

Sime Darby Plantation pula telah memperuntukkan sebanyak AS$20 juta (RM85.5 juta) sebagai pampasan yang serupa kepada pekerja asing. Sekatan import dua-tahun ke atas Sime Darby Plantation baru di batalkan pada Februari 2023.

Manakala, sekatan import ke atas FGV masih berterusan. Menurut laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif FGV menjangka sekatan import akan di batalkan pada penghujung tahun 2023.

serbuan pasukan imigresen Malaysia

ATA IMS, iaitu sebuah syarikat pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik yang tersenarai di Bursa Malaysia, juga menghadapi isu kesejahteraan pekerja. Pada November 2021, Dyson, iaitu sebuah syarikat pembuatan terkemuka British, di laporkan telah menamatkan kontrak perniagaan dengan ATA IMS.

Sebaik sahaja laporan tersebut, nilai saham ATA IMS telah menjunam melebihi 60%. Sehingga kini ATA IMS masih bergelut untuk memulihkan prestasi serta reputasi syarikat. Sekiranya berpanjangan, ramai pekerja berdepan dengan risiko kehilangan pekerjaan.

Pada Julai 2021, di dalam Trafficking in Persons (TIP) Report 2021, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menurunkan taraf Malaysia dari Tier 2 ke Tier 3, iaitu tier terendah di dalam TIP Report. Keputusan tersebut di buat kerana Malaysia tidak memenuhi standard minima untuk membanteras isu pemerdagangan manusia serta tidak membuat tindakan yang signifikan untuk menangani isu tersebut.

Di dalam TIP Report 2022, Malaysia kekal di dalam Tier 3.

laporan TIP Report 2021


Penurunan taraf ini melibatkan laporan serta dakwaan mengenai eksploitasi pekerja asing di dalam sektor perladangan, pembuatan dan pembinaan di Malaysia, terutamanya isu perumahan pekerja, gaji setimpal dan masa bekerja.

Lazimnya isu ini tertumpu kepada pekerja asing. Menurut laporan media, Menteri Sumber Manusia menyatakan bahawa terdapat sejumlah 1.46 juta pekerja asing yang di rekodkan sehingga Disember 2022. Berapa pula jumlah pekerja asing yang tidak di rekodkan? Maka jumlah sebenar pekerja asing di Malaysia sememangnya jauh lebih tinggi.

Jumlah pekerja asing yang tinggi ini menjadikan isu eksploitasi pekerja sebagai satu isu yang kritikal serta rumit. Kegagalan penguatkuasaan sudah pasti akan menyebabkan isu ini berterusan, yang akhirnya boleh melemahkan ekonomi Malaysia.

Malah persepsi umum ialah isu eksploitasi pekerja asing adalah satu isu sistemik yang sudah lama berakar-umbi di Malaysia yang melibatkan salah-laku pelbagai pihak serta peringkat di dalam kerajaan dan juga sektor swasta.

TINDAKAN TEGAS PENGUATKUASA

Baru-baru ini, dua pegawai kanan di pejabat Menteri Sumber Manusia Malaysia di laporkan telah di soal-siasat dan di tahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas dakwaan rasuah melibatkan agensi pengambilan pekerja asing.

Sejurus selepas TIP Report 2021 di umumkan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah mencadangkan agar Kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mendalami isu ini secara menyeluruh. Namun begitu, cadangan tersebut tidak dilaksanakan.

Justeru itu, Kerajaan Malaysia wajar mempertimbangkan balik cadangan SUHAKAM tersebut. Tambahan lagi, di atas teras Malaysia Madani untuk mewujudkan pentadbiran beramanah, Menteri Sumber Manusia wajar di rehatkan segera agar siasatan menyeluruh dapat di lakukan oleh pihak yang berkaitan tanpa halangan dan tanpa rasa takut. Ini juga dapat membuktikan bahawa Kerajaan Malaysia serius dan komited untuk menangani isu eksploitasi pekerja.

Di dalam filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P. Ramlee, Hussain Lempoyan, saudagar unta dari Cairo berkata: “Dunia..Dunia..meniaga manusia lagi bagus daripada unta…WOW!

Filem tersebut mula di tayangkan pada 22 April 1964. Tepat dan masih relevan

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *