HomeIsu tempatanEwon turun padang temui penduduk Kmapung Terian, Kampung Buayan

Ewon turun padang temui penduduk Kmapung Terian, Kampung Buayan

Read Time:1 Minute, 44 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Penampang : Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick buat julung kalinya mengadakan lawatan di Kampung Terian dan Kampung Buayan selepas diberikan mandat sebagai wakil rakyat pada pilihan raya lalu.

Dua buah kampung itu yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari Pekan Donggongon antara kampung pedalaman di Penampang yang amat mencabar.

Ini kerana jalan perhubungan kampung itu adalah jalan tanah merah, berbukit dengan merentasi beberapa sungai dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Menurut penduduk kampung, jalan menghubungkan Kampung Buayan siap dibina pada 2013 manakala jalan ke Kampung Terian siap pada 2007.

Walaupun jalan menghubungkan kampung berkenaan siap beberapa tahun lalu namun ia masih sukar dilalui kenderaan ringan, malah kenderaan pacuan empat roda juga mengalami kesukaran terutamanya pada musim hujan.

Sebelum ini penduduk di kedua-dua kampung itu terpaksa berjalan kaki selama enam hingga lapan jam untuk mendapatkan barangan keperluan atau memasarkan hasil pertanian di Pekan Donggongon.

Lawatan Ewon ke kampung berkenaan selama dua hari yang berakhir hari ini turut disertai Kelab WRS Penampang.

Konvoi itu melibatkan 30 buah kereta pacuan empat roda termasuk pasukan polis, wakil Jabatan Air dan Jabatan Kerja Raya (JKR) disertai kira-kira 70 orang.

“Saya memilih menaiki kereta untuk melawat kedua-dua kampung ini kerana ingin merasai kesukaran dan cabaran perjalanan yang dilalui penduduk kampung.

“Keadaan jalan amat mencabar dan sememangnya memerlukan perhatian kerajaan. Sebab itu, saya berharap penduduk di kedua-dua kampung memberikan kerjasama kepada Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang melaksanakan kajian Pelan Pembangunan Penampang.

“Semua keperluan penduduk kampung terutamanya penaiktarafan jalan raya dan pembinaan kemudahan-kemudahan lain akan dimasukkan dalam pelan pembangunan itu,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sementara itu wakil penduduk Kampung Terian Blasius Sipail berkata, sebelum jalan raya kampung itu dibina pada 2007, mereka terpaksa berjalan kaki selama lapan jam ke Pekan Donggongon.

“Jalan ke kampung kami sudah dibina tetapi malangnya ia masih sukar dilalui terutamanya pada musim hujan kerana licin dan berlumpur.

“Oleh itu, kami merayu kepada kerajaan supaya mempercepatkan penaiktarafan jalan itu atau sekurang-kurangnya menabur batu, membina kalbut dan parit,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan bot lakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular