HomeEkonomiKementerian Ekonomi digesa pelbagaikan inisiatif IPR untuk bantu rakyat Sabah

Kementerian Ekonomi digesa pelbagaikan inisiatif IPR untuk bantu rakyat Sabah

Read Time:2 Minute, 57 Second

oleh : Muda Muhammad

Dalam kenyataan media YB Menteri Ekonomi pada 6 Mac 2023, sejumlah lapan daerah dari Sabah disebutkan dalam perenggan ke-7 kenyataan media tersebut sebagai antara 23 daerah termiskin di Malaysia yang menjadi fokus kepada perlaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Kementerian Ekonomi.

IPR adalah satu inisiatif yang baik untuk membantu menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan kumpulan B40 menerusi tiga inisiatif yang diperkenalkan iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Jika mengikut kaedah IPR ini, mereka yang berminat untuk sertai program IPR perlu mendaftar di laman web yang telah disediakan oleh IPR. Jika dilihat pada data mereka yang mendaftar dari Selangor, Kuala Lumpur dan Johor antara yang tertinggi mendaftar. Daripada Sabah hanya 5.7% dari 22,319 orang yang mendaftar atau hanya kira-kira 1,272 orang sahaja.

Jumlahnya begitu kecil, apakah mereka yang mendaftar ini adalah rakyat Sabah yang benar-benar berada di 8 daerah termisikin yang dimaksudkan itu atau mereka berada di Lembah Klang dan Johor tetapi dalam pendaftaran mereka memilih untuk menyatakan mereka adalah dari negeri Sabah. Ini perkara yang perlu Kementerian Ekonomi lihat dan teliti dengan betul.

Kenapa jumlah pendaftarannya tidak menggalakkan? Secara umum, isi rumah berpendapatan RM4,850 sebulan dan ke bawah dikategorikan sebagai B40. Kumpulan B40 ini jika mengikut data Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia berjumlah 2.78 juta orang isi rumah.

infografik jumlah pendaftaran diri di laman web IPR ipr.epu.gov.my

Jika pendaftaran untuk IPR ini baru mencapai 22,319 orang, ini bermakna hanya baru 0.008% sahaja target yang baru dicapai, terlalu sedikit dan tidak sampai pun 1%. Mungkin kaedah pendaftaran dan cara mempromosikan IPR ini perlu dihebatkan lagi dengan meluas kepada rakyat.

Perbanyakkan lagi “Outreach Program” secara bersemuka dengan kumpulan B40 di 23 daerah yang menjadi fokus kepada program IPR ini. Pendaftaran secara online memang bagus di kawasan yang ada capaian internet yang baik tetapi di kawasan pedalaman mungkin khabar dan berita tentang IPR ini tidak sampai kepada kumpulan B40 yang memerlukan. Di sinilah pentingnya “Outreach Program” kepada masyarakat.

Menerusi “Outreach Program”, kita yang mencari siapa yang sepatutnya layak diberi dan menerima sesuatu bukannya menunggu siapa yang layak dibantu untuk datang dan mendaftar. Program ini lebih proaktif untuk membasmi kemiskinan dan membantu masyarakat.

tidak banyak video berbentuk Public Service Announcement (PSA) seperti ini yang bertujuan memaklumkan rakyat berkaitan inisiatif kerajaan

Kementerian Ekonomi juga perlu memperbanyakkan lagi “Public Service Announcement (PSA)” tentang program IPR ini menerusi video, imej dan mesej yang ringkas tetapi perlu mengunakan bahasa serta dialek tempatan. Lebih berkesan jika PSA itu disiarkan dan dihebahkan dalam saluran media tempatan, ianya akan lebih dekat dengan kumpulan sasaran yang ingin didampingi.

Ramai lagi yang tidak mengetahui tentang IPR ini, itulah antara sebab mengapa pendaftaran tidak berapa menggalakkan. Selain itu, Kementerian Ekonomi juga perlu bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dalam mempelbagaikan lagi inisiatif yang ada dalam IPR ini.

Di Sabah, masyarakat Sabah ada produk yang tersendiri. Industri kampung dan produk dari kampung juga boleh dipertimbangkan untuk dijadikan sebagai satu Inisiatif baru dalam IPR ini. Mungkin boleh dikenali sebagai Inisiatif Produk Negeri Sabah (INAS) sebagai contohnya.

Dalam inisiatif INAS ini sebagai contohnya, Kementerian Ekonomi boleh menghubungkan di GLC, syarikat korporat, Koperasi dan pihak yang berminat dengan produk-produk daripada Sabah.

Bukan itu sahaja, Sabah negeri yang terkenal dengan produk pelancongan yang unik dan tersendiri, mungkin lebih daripada satu inisiatif dapat diwujudkan dalam IPR bagi membantu rakyat negeri Sabah. Dengan kerjasama yang erat dengan Kerajaan Negeri Sabah, penambahbaikan kepada program IPR ini boleh direalisasikan.

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat terapung ditemui di sungai Kg Iban Merotai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular