Selesaikan masalah bekalan elektrik di Kg Bogaya dan Kg Sundang – Khairul Firdaus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan meminta pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang berlaku di Kampung Bogaya dan Kampung Sundang dengan segera.

Katanya, masalah kekurangan elektrik yang berlaku masa kini dilihat sebagai satu perkara yang tidak wajar berlaku dan perlu diatasi segera.

“Saya sebagai ahli parlimen, yang mana saya suarakan masalah rakyat saya di kedua-dua kampung ini.

“Rakyat tertekan dengan isu bekalan elektrik yang berulang kali tanpa henti berlaku, dan jalan penyelesaian masih belum dilihat sampai saat ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut menggesa SESB agar lebih bertanggungjawab dan memberi maklum balas kepada aduan rakyat berkaitan masalah bekalan elektrik.

“Masalah ini mengganggu rutin harian rakyat, peniaga, pelajar, pekerja, dan semua urusan terganggu apabila bekalan elektrik turut terganggu.

“Hal ini jika terlalu kerap berulang, pastinya ‘menyakitkan jiwa’ dan memberi tekanan kepada semua,” katanya.

Jelas beliau lagi, beliau turut membawa masalah bekalan elektrik di kawasan beliau kepada SESB tetapi respon pihak itu amat mengecewakan.

“Saya bawa suara dan masalah rakyat saya di Kampung Bogaya dan Kampung Sundang kepada SESB.

“Sampai sekarang masih tiada penyelesaian dan saya sebagai wakil rakyat untuk rakyat di Batu Sapi, tetapi tidak dilayan, seolah-olah suara dan masalah rakyat saya tidak ada kesan atau impak.

“Dimana logiknya?… jika suara saya sebagai Ahli Parlimen rakyat saya pun dipandang remeh oleh SESB, tidak dilayan, maka bayangkan kalau rakyat biasa yang berulang alik membuat aduan?,” katanya.

Tambah Khairul lagi, beliau sangat tidak berpuas hati dengan masalah itu dan mahu penjelasan lebih lanjut dan tuntas daripada pihak bertanggungjawab.

“Masalah sebegini berpuluh tahun berulang tapi makin teruk sekarang, dan lebih mengecewakan sebab semua aduan dipandang remeh, seolah-olah melepaskan batuk di tepi tangga oleh pihak mereka (SESB).

“Bermacam alasan diberikan dan rakyat sudah jemu, sudah muak dengan alasan sama dari dulu sampai sekarang, dan saya memang amat kecewa kerana saya sendiri pun diperlakukan seperti pengemis apabila isu ini saya suarakan kepada pihak SESB,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul turut menegaskan bahawa SESB perlu segera memberi respon dan bertindak untuk menyelesaikan masalah itu khasnya di kedua-dua kampung yang sudah disuarakan masalah tersebut.

“Sampai sekarang belum ada apa-apa penjelasan pelan jangka masa pendek dan panjang dari mereka untuk masalah yang berlaku di kedua-dua kampung itu (Kampung Bogaya dan Kampung Sundang).

“Saya mohon masalah ini segera diselesaikan dan kerana perkara sebegini, ahli politik di perolokkan dan pandangan rakyat kepada ahli politik juga turut menjadi negatif.

“Ahli politik berkhidmat membawa suara rakyat dan bagi saya masalah rakyat adalah pekerjaan dan keutamaan wakil rakyat yang mana ia adalah kewajipan utama untuk diselesaikan,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *