HomeIsu tempatanProjek Tropika Park City, Lok Kawi akan jadi mercu tanda kawasan sekitar

Projek Tropika Park City, Lok Kawi akan jadi mercu tanda kawasan sekitar

Read Time:3 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Projek Tropika Park City di Lok Kawi akan menjadi mercu tanda kawasan sekitar serta menjadi daya tarikan pelancong sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Projek tersebut adalah kerjasama Zalam Development (Sabah) Sdn Bhd dan Sabah Urban Development Corporation (SUDC) dan fasa pertama projek ialah membina Damar Residence Tropika Park City.

Majlis Pecah tanah untuk projek berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan Phoong Jin Zhe
di tapak projek Tropika Park City seluas 40 ekar di Lok Kawi pada Ahad.

Damar Residence adalah fasa pertama projek Tropika Park City terletak 20 minit dari bandaraya Kota Kinabalu dan pekan Papar. Ia juga terletak bersebelahan dan berhampiran dengan lebuhraya Pan Borneo.

Perkataan ‘Damar’ digunakan untuk ‘Damar Residence’ yang berasal daripada pokok yang biasa ditemui di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Kerja-kerja pembinaan Damar Residence melibatkan sebuah bangunan 24 tingkat dengan sebanyak 360 unit pangsapuri sudah bermula dibina dan dijadualkan siap pada 2025.

Unit pangsapuri ini terdapat dalam dua jenis tingkat: Jenis A (780 kaki persegi) dan jenis B (840 kaki persegi); dua pemandangan untuk ditawarkan iaitu pemandangan Laut China Selatan dan pergunungan Banjaran Crocker.

Berkaitan hal keselamatan, Damar Residence dilengkapi dengan sistem keselamatan yang komprehensif selama 24 jam seminggu.

Pelbagai kemudahan aktiviti rekreasi disediakan seperti kolam renang, taman herba dan ruang bersama bersesuaian dengan norma gaya hidup bekerja dari rumah pada hari ini.

Sehubungan dengan itu, Phoong menyifatkan majlis pelancaran
Damar Residence sebagai satu lagi kejayaan bagi usaha Kerajaan Negeri dalam agenda perumahan rakyat.

“la boleh diklasifikasikan sebagai kejayaan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan
dan kemajuan Sabah secara adil dan teratur.

“Saya pasti projek ini mampu memberikan nilai tambah kepada komuniti sekeliling terutama dalam terma meningkatkan status rakyat dan kualiti hidup,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak projek di sini hari ini.

Beliau juga yakin projek Damar Residence Tropika Park City memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, terutama mereka yang menetap di Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pengerusi Zalam Development (Sabah) Sdn Bhd Tan Seri Dato Wong See Wah berkata dalam ucapannya, Damar Residence merupakan salah satu inisiatif untuk menjawab seruan kerajaan untuk membina rumah yang praktikal dan mampu milik kepada golongan M40 pada kadar harga yang berpatutan.

Menurutnya, keutamaan dan matlamat projek berkenaan adalah untuk mencipta sebuah bandar yang mempunyai kemudahan lengkap di Kota Kinabalu, yang mana para penduduk boleh tinggal, bermain, bersenam, makan, berehat, membeli-belah dan bekerja di satu tempat.

“Oleh sebab itu, Tropika Park City akan dibina. Kami menawarkan pusat taman kepada keluarga untuk melakukan aktiviti rekreasi berjoging dan berbasikal pada lorong yang ditetapkan, kedai runcit serta semua kemudahan terdekat,” kata Wong.

Tambahnya, pihak beliau juga sedang berbincang dengan syarikat makanan segera McDonald membina kemudahan pandu lalu di pusat perniagaan Tropika Park City.

“Ini akan menjadi daya tarikan dan popular dalam kalangan masyarakat umum,” kata Wong sambil mengibaratkan lokasi Tropika Park City berumpama sebutir ‘permata’ dan percaya lokasi berkenaan mempunyai kemampuan menjadi pusat bandar yang pesat selain menjadi daya tarikan
pelancong.

Dalam majlis sama, Pengerusi SUDC Jamawi Jaafar juga percaya projek usaha sama terbabit bakal mengubah suasana Lok Kawi akan menjadi mercu tanda di kawasan sekitar.

Katanya, selaras dengan slogan SUDC ‘Pioneering Progress’, SUDC dan Zalam Development Sdn Bhd akan membangunkan pembangunan di Tropika Park City, projek berkenaan akan dibangunkan dalam beberapa fasa dengan Residence sebagai fasa awal.

Jamawi juga berkata, SUDC telah meraikan ulang tahun ke-50 pada 14 Julai 2022. Dalam tempoh setengah abad, SUDC sudah melalui banyak cabaran, kejayaan dan perjuangan. Selama 50 tahun, meskipun berlaku perubahan dalam pengurusan dan kakitangan, SUDC masih berdaya tahan dan relevan dalam pertumbuhan hartanah Sabah.

“Sesuai dengan slogan SUDC sempena ulang tahun ke-50, SUDC sudah membuktikan keupayaan menjadi perintis dalam sektor pembangunan hartanah Sabah. Bermula dengan pembangunan kedai di beberapa daerah, seterusnya pembangunan berskala besar seperti perumahan, hotel, kawasan perindustrian dan pusat beli-belah,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan majlis pecah tanah ini, kemampuan SUDC sudah dibuktikan dalam pembangunan hartanah terutama pembinaan perumahan.

Turut diadakan di tempat yang sama ialah Larian Kaamatan SKM SUDC Zalam yang diadakan seawal jam 6 pagi dirasmikan oleh Jamawi.

Kira-kira seramai 600 peserta berdaftar mengikuti larian berkenaan.

Hadir sama pada acara itu ialah Pengarah Urusan Dalam Development (Sabah) Sdn Bhd Ho Lee Beng, Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah dan Pengurus Kumpulan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (SEDCO) Haizal R.H Ajak Nabijan.

Zalam development Sdn Bhd adalah sebuah syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah di Malaysia. Sejak 1976, syarikat ini sudah membina projek hartanah dan perumahan merangkumi rumah teres, pangsapuri, kondominium, pejabat, kilang dan gudang di seluruh negara.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

EU komited bantu Sabah atasi isu keselamatan, tenaga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya