HomeIsu tempatanSuspek tikam mangsa kerana cemburu dan putuskan pertunangan

Suspek tikam mangsa kerana cemburu dan putuskan pertunangan

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Susulan kejadian seorang pembantu kedai wanita maut ditikam bekas tunang di sebuah pusat membeli belah di sini tengahari semalam (29 Mei) adalah berpunca cemburu dan tidak berpuas hati mangsa memutuskan pertunangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Kalsom Idris berkata, pada 12.15 tengah hari semalam, pihak polis telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang menyatakan telah tertikam bekas tunangnya menggunakan sebilah pisau di sebuah pusat membeli belah di Daerah Kota Kinabalu.

“Berikutan itu, polis Daerah Kota Kinabalu telah bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang perempuan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kecederaan yang dipercayai kesan tikaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kalsom berkata, turut berada di lokasi suspek iaitu seorang lelaki yang merupakan bekas tunang mangsa dan telah ditahan oleh pihak pengawal keselamatan pusat membeli belah terbabit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, punca kejadian adalah cemburu dan suspek merasa tidak puas hati kerana mangsa memutuskan hubungan mereka dua hari sebelum kejadian.

“Oleh itu, suspek cuba memujuk mangsa di tempat kerjanya, namun mangsa enggan meneruskan hubungan mereka atas sebab peribadi.

“Disebabkan itu, suspek berasa berang dan bertindak menikam mangsa sebanyak lapan kali pada bahagian tubuh mangsa sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Bagaimanapun, Kalsom berkata, pihak paramedik yang berada di tempat kejadian telah cuba untuk menyelamatkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan telah disahkan meninggal dunia pada hari yang sama jam 1 petang.

Katanya, mayat mangsa seterusnya dihantar ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Manakala suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan dan pihak polis telah merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa iaitu sebilah pisau.

“Kes disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan,” jelasnya.

Tambah Kalsom, dengan tertangkapnya suspek, kes bunuh ini dianggap telah selesai.

“Pihak polis Daerah Kota Kinabalu akan mempersiapkan siasatan dengan segera dan memastikan suspek menerima hukuman yang setimpal serta sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak bertindak mengikut perasaan dan melanggar undang-undang sehingga merisikokan diri dan masa depan sendiri,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

FSSK UMS jayakan seminar pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular