Rakyat Sabah bangga, teruja PM hadir Pesta Kaamatan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Penampang: Kemuncak sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila turut dihadiri pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kehadiran Perdana Menteri untuk meraikan sambutan perayaan Pesta Kaamatan sesungguhnya melahirkan rasa bangga dan teruja kepada rakyat Sabah khususnya dari suku kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR). 

“Kaamatan, adalah perayaan yang berjaya mengangkat martabat budaya dan adat resam suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus di Sabah, dan kami bangga dengannya kerana Sabah turut dikenali dunia dengan penganjuran acara Kaamatan ini. 

“Justeru, rakyat Sabah khususnya dari suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR), tentu sekali turut berasa bangga dan teruja dengan kehadiran Perdana Menteri pada hari ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2023 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di sini hari ini.

Majlis penutupan Pesta Kaamatan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. 

Hadir sama isterinya, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Hajiji berkata, kehadiran Perdana Menteri itu juga adalah satu lagi detik bersejarah dalam siri sambutan perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri.

“Sesungguhnya, bukan mudah untuk kita mendapat peluang sebegini rupa, pemimpin nombor satu negara yang sentiasa sibuk dengan jadual yang sangat padat, hadir bersama-sama kita di dalam dewan KDCA yang terkenal ini,” katanya. – SABAH MEDIA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *