Membangun Masyarakat Madani – Rakyat Sabah rayu laksana segera projek memulihkan bekalan air

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah meluahkan rasa syukur dengan peruntukan yang disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah air yang sekian lama membelenggu penduduk di negeri ini.

Sehubungan dengan itu, tinjauan Sabah Media sekitar Kota Kinabalu hari ini mendapati ramai yang mahu pihak yang berwajib supaya menggunakan peruntukan tersebut sewajarnya dengan melaksanakan tanggungjawab sebaiknya bagi menangani masalah bekalan air di Sabah.

Seorang peniaga, Alex Ka, 54, dari Kinarut berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendengar keluhan rakyat Sabah dan juga Kerajaan Negeri yang terajui oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kerana berusaha untuk menyelesaikan segala isu khususnya masalah bekalan air ini.

“Kami gembira dengan berita adanya peruntukan dari persekutuan yang diberi kepada Sabah untuk menangani masalah air di negeri ini.

“Saya harap apa yang lebih penting ialah pelaksanaannya, sudah ada bantuan jadi laksanakanlah, apa yang kami selalu hadapi di sini ialah masalah air, banjir dan sistem peparitan yang tidak baik, jadi pelaksanaan projek itu adalah yang paling penting,” tegasnya.

Manakala seorang tukang jahit, Hayana Gafar, 35, dari Kinarut berkata beliau turut gembira dan bersyukur dengan peruntukan untuk memulihkan bekalan air di Sabah.

“Kami di Kinarut ini memang menghadapi masalah air yang teruk, sekiranya peruntukan tersebut dapat disalurkan dengan cara yang betul kami sangat-sangat gembira dan bersyukur, “katanya.

Bagi seorang penjual kuih, Harinyu Kunmalun, 39, dari Kudat pula turut mengharapkan dengan peruntukan yang diberi, projek membaikpulih bekalan air di Sabah dapat dilaksanakan dengan segera.

Sementara itu, seorang pesara, Januid Napsid, 61, dari Beaufort berkata beliau juga mahu pihak berwajib dapat melaksanakan tanggungjawab dalam menyelesaikan isu bekalan air ini dengan secepat mungkin dengan peruntukan yang sudah diberikan oleh pihak persekutuan.

“Kalau di daearah Beaufort ini sudah sinonim dengan banyak masalah, banjir, jalan raya dan masalah air jadi kami merayu kepada pihak berwajib dengan adanya peruntukan yang diberi, pihak yang dipertanggungjawab selesaikanlah masalah air ini dengan segera,” ujarnya.

Selain daripada itu, sebagai warga Sabah, mereka menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan masyarakat madani dan menerapkan semangat perpaduan dikalangan seluruh rakyat Malaysia.

“Ini adalah untuk memastikan keharmonian hidup dikalangan masyarakat kita khususnya di negeri Sabah ini, kita ada pelbagai kaum, agama dan fahaman politik, semuanya hidup aman damai,” kata Alex.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *