HomeUtamaLesen perniagaan, operasi dan berjaja boleh diperbaharui secara dalam talian di Tawau

Lesen perniagaan, operasi dan berjaja boleh diperbaharui secara dalam talian di Tawau

Read Time:3 Minute, 9 Second

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) hari ini melancarkan Perkhidmatan Pembaharuan Lesen Perniagaan secara dalam talian dan Program Libat Urus Komuniti MPT.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam melancarkan kedua-dua inisiatif ini pada majlis yang diadakan di Dewan Persidangan MPT, di sini.

Mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga MPT atas kejayaan melancarkan perkhidmatan pembaharuan lesen perniagaan secara dalam talian itu, Dr. Joachim berkata, kini lesen perniagaan, lesen operasi dan lesen berjaja boleh diperbaharui menggunakan kaedah dalam talian.

“Pembaharuan lesen secara dalam talian ini merupakan salah satu perkhidmatan di dalam aplikasi MPT E-services yang membolehkan orang ramai melaksanakan pembaharuan lesen secara online.

“Antara kelebihan perkhidmatan ini ialah tidak perlu datang ke kaunter, boleh diakses di mana sahaja, tidak perlu beratur panjang, transaksi pembayaran secara online dan lesen boleh dicetak sendiri di rumah.

“Kebaikan perkhidmatan ini ialah penyediaan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada masyarakat dapat ditambah baik dan mempertingkatkan tahap celik IT di kalangan masyarakat setempat. Selain itu, kaedah ini juga adalah lebih pantas serta dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan mengurangkan risiko penularan wabak merbahaya kerana tidak perlu bersemuka.

“Walau bagaimanapun, pelanggan masih boleh datang ke kaunter sekiranya terdapat permasalahan ketika memperbaharui lesen,” jelasnya.

“Sebanyak 5,000 lesen telah diperbaharui dengan menggunakan perkhidmatan dalam talian,” kata Dr. Joachim.

Katanya, perkhidmatan secara dalam talian adalah merupakan antara teras strategik yang terdapat di dalam Kompenan Pelan Tindakan KKTP seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik 2021-2025.

Lima teras strategik yang dimaksudkan ialah memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan agar lebih cekap dan teratur; memperkukuhkan perundangan dan dasar perumahan awam dan swasta, serta pengurusan penempatan semula setinggan supaya lebih teratur untuk memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat; memperkasakan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan Kementerian untuk memastikan kelancaran dan keteraturan pentadbiran semua agensi di bawah kawalan; memperluaskan kolaborasi Kementerian dengan rakan strategik ke arah penyampaian perkhidmatan yang dinamik, kreatif, inovatif dan efisien; dan penyediakan kepakaran teknikal dan menjadi urus setia landskap untuk Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan perancangan dan pembangunan landskap Negeri Sabah yang terancang dan berkualiti.

Beliau juga gembira apabila dimaklumkan bahawa masyarakat Tawau, terutamanya orang ramai yang sering berurusan dengan pihak MPT amat menyambut baik kaedah pembaharuan lesen secara dalam talian, kerana mereka tidak perlu bersusah payah hadir secara fizikal dan beratur panjang di kaunter seperti sebelum ini. Cukup hanya dengan menggunakan telefon pintar atau komputer di rumah.

Mengenai Program Libat Urus Komuniti secara bersepadu, Dr. Joachim berkata, ia melibatkan kualiti perkhidmatan, kepuasan pelanggan dan libat urus pelanggan.

Katanya, program tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang antara pelanggan/masyarakat Tawau dengan PBT melalui kaedah mendekati komuniti untuk mendengar isu-isu semasa dan menyampaikan maklumat perkhidmatan MPT.

“Ia melibatkan antara Jabatan, Agensi, syarikat melalui tanggungjawab social korporat, ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR),” katanya.

Beliau menjelaskan, tujuh impak libat urus komuniti MPT ini ialah merapatkan jurang silaturrahim melalui pendekatan turun padang PBT kepada masyarakat; merapatkan jurang pengetahuan melalui kaedah penggumpulan maklumat perkhidmatan PBT dengan sesi taklimat dan soal jawab; kerjasama bersepadu bersama agensi atau jabatan terlibat untuk mengaplikasi ‘no wrong door’ polisi; penglibatan tanggungjawab sosial koporat dengan syarikat di daerah Tawau menyantuni masyarakat Tawau; pengurangan tunggakan cukai pintu dan lesen melalui taklimat yang disampaikan; mendengan isu dan aduan semasa rakyat dari pada akar umbi; dan penambahbaikan kualiti perkhidmatan MPT untuk rakyat Tawau.

“Pihak Kementerian akan sentiasa memberikan kerjasama dan memantau apa juga program dan aktiviti yang akan dilaksanakan di semua PBT. Saya berharap mutu dan kualiti kerja di MPT akan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan Awang Gani Pengeran Amir, Presiden dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang dan Shoffian Mohd Said; Ahli-ahli Majlis, para Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Pegawai-pegawai Kanan MPT.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya