Pemimpin adat diseru beri khidmat terbaik kepada masyarakat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Tamparuli: Pemimpin adat diseru memberi khidmat terbaik kepada masyarakat dengan menggunakan kebijaksanaan serta keberanian dalam menjalankan tanggungjawab yang diberi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, hal-hal berkaitan agama, budaya dan adat-istiadat memerlukan kesabaran dalam mendepani cabaran menguruskan pelbagai tuntutan masyarakat masa kini.

Justeru, beliau berkata, selain menuntut kemahiran dalam pengurusan adat, tingkah laku dan peradaban mereka juga perlu dijaga bagi memberi contoh yang baik kepada masyarakat.

“Saya bersama kepimpinan tertinggi di peringkat daerah telah meletakkan kepercayaan kepada ketiga-tiga mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat, dan berharap semoga para pemimpin ini dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, “katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada tiga orang pemegang adat di kawasan Tamparuli, di sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata, ketua adat berperanan menyelesaikan pelbagai perkara termasuk hal berkaitan tanah adat, dokumen pengenalan peribadi, tradisi dan kebajikan rakyat.

Katanya, semua ketua adat harus memastikan usaha ke arah mengekalkan warisan, budaya dan adat istiadat kaum yang dimiliki mereka untuk diwarisi generasi seterusnya.

“Kepada para pemimpin lain, dekati dan bimbinglah mereka, demi memperkasa dan memartabatkan lagi institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Tamparuli,” katanya.

Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah Kecil (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, berkata, sekiranya ada kemusykilan mengenai tugasan dan tanggungjawab mereka, boleh terus berhubung dengan beliau.

Tiga yang dilantik ialah Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Tamparuli, Walton Sodundu, KK Sikin Penimbang (Kampung Kapa), dan KK Paranting Lipayan (Kampung Loputung). – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *