HomeIsu tempatanPolis tangkap pelancong lelaki warga asing berbogel di balkoni

Polis tangkap pelancong lelaki warga asing berbogel di balkoni

Read Time:1 Minute, 28 Second

SEMPORNA: Polis telah menangkap seorang pelancong lelaki warga asing berikutan tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki berbogel di balkoni sebuah bilik hotel di Semporna dalam kejadian berlaku pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lebih kurang jam 9.30 malam pada Khamis (8 Jun), polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna telah membuat tangkapan ke atas seorang pelancong lelaki warga asing berumur 40 tahun di sebuah hotel dalam Daerah Semporna.

“Tangkapan tersebut ekoran dari satu video berdurasi selama sembilan saat yang menunjukkan seorang lelaki tanpa berpakaian (bogel) telah keluar ke balkoni sebuah bilik hotel yang menghadap jalan raya.

“Perbuatan lelaki tersebut telah dirakam oleh orang awam yang melalui jalan berhadapan hotel berkenaan sebelum video tersebut tersebar di laman media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Farhan, kejadian dipercayai berlaku pada 6 Jun lalu, jam lebih kurang 8.00 pagi.

“Lelaki berkenaan telah ditangkap untuk siasatan di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan atas kesalahan berkelakuan lucah di tempat awam yang mana jika disabitkan hendaklah dihukum penjara selama tempoh boleh sampai tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun prosedur jenayah selama empat hari sehingga 12 Jun 2023 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis memohon orang awam yang merakam kejadian tersebut supaya tampil untuk membantu siasatan.

“Maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khadijah Mohd Seruji ditalian 019-8718002 atau IPD Semporna di talian 089-781222 / 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, pihak polis menasihatkan para pelancong supaya mematuhi undang-undang negara serta menghormati adat dan budaya masyarakat tempatan.

“Kerjasama orang ramai dalam usaha mengekalkan keharmonian dan keselamatan Daerah Semporna amat dihargai,” kata Mohd Farhan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Dua bot tempatan ditahan, gagal patuhi syarat sah lesen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya