HomeUtamaInfrastruktur Kesihatan di Sabah Masih Kritikal - Bobbey

Infrastruktur Kesihatan di Sabah Masih Kritikal – Bobbey

Read Time:3 Minute, 30 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kesihatan perlu memastikan sistem dan kualiti perkhidmatan kesihatan di Wilayah Sabah semakin baik dan direformasi secara holistik, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey Suan.

Katanya, ini penting selaras dengan konsep pendekatan keseluruhan negara (whole of nation) dalam Aspirasi Sistem Kesihatan Malaysia dan Tonggak Reformasi Kertas Putih Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, untuk keluar daripada ‘penjagaan sakit’ yang disentuh dalam kertas putih itu, kerajaan haruslah mewacanakan kesenjangan antara wilayah agar perkhidmatan kesihatan ini direformasi secara holistik agar sistem kesihatan negara terus berdaya saing dan kompeten.

“Realitinya sistem kesihatan terutamanya soal infrastruktur kesihatan di Wilayah Sabah masih kritikal”, Katanya ketika membahas Kertas Putih Kesihatan 2023 di Persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Bobbey berkata, tahun lalu beliau telah secara spesifik membangkitkan masalah tempat letak kereta di kawasan dua hospital di Kota Kinabalu, iaitu Queen Elizabeth Hospital 1 dan 2.

Menurutnya, pada tahun 2022 sahaja, KKM melalui Jabatan Kesihatan Wilayah Sabah telah mengenal pasti sebanyak 326 klinik Sabah yang daif dan kurang daif serta memerlukan kerja naik taraf. Daripada jumlah itu, sebanyak 287 klinik daif di Sabah dibina dengan kayu dan dikategorikan sebagai bangunan yang tidak selamat diduduki.

“Manakala dalam tempoh 6 bulan tahun ini (2023), kita di Sabah hanya terdapat 112 buah klinik kesihatan yang sedang beroperasi, namun 95 buah daripadanya atau 84.8 peratus adalah dalam keadaan usang dan daif. Bahkan lebih menyedihkan, klinik-klinik ini ada yang tidak mempunyai capaian internet dan ini sangat melambatkan proses informatik dibuat oleh pentadbiran klinik”.

“Jika mengambil pandangan pakar perubatan, 70 peratus daripada peralatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan di Sabah adalah berusia berpuluh tahun atau ‘Beyond Economic Repair’ (BER)”, tegasnya.

Bobbey yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, polemik yang berlaku di Sabah sekarang ialah masalah ketidakcukupan sumber manusia dalam perkhidmatan kesihatan itu sendiri.

Menurutnya, antara hospital yang sangat terkesan di Sabah ialah Hospital Daerah Papar, Hospital Ibu dan Anak Likas, dan Hospital Queen Elizabeth, sehingga wujud kes dimana jururawat terpaksa mengambil jadual kerja berganda (double shif).

“Menurut Jabatan Kesihatan Sabah, kelompongan kekosongan perjawatan adalah sekitar 8.82 peratus iaitu 2,494 daripada 28,274 sumber tenaga yang sepatutnya diisi. Pada tahun 2022, sasaran anggaran negara bagi nisbah doktor kepada penduduk adalah 1:425. Tetapi bagi kami di Sabah pada tahun 2022 adalah bernisbah 1:872.

“Angka ini amat serius, ini bukan sahaja menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas, malah kesan yang lebih besar kepada para petugas kesihatan yang akan terdedah dengan bahaya seperti kadar keterjangkitan tinggi disebabkan masa bekerja yang lama serta tekanan dari segi kesihatan mental”, tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar KKM mengambil beberapa tindakan segera berkaitan isu di Sabah, antaranya ialah pengagihan peruntukan perlulah disalurkan tepat dan cepat bagi memastikan projek membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur kesihatan di Sabah dan seluruh negara dipercepatkan.

Menurutnya, tahun lalu kerajaan persekutuan telah berjanji untuk menyalurkan sebanyak RM420 juta dan tahun ini KKM sendiri perlu memberikan lebih komitmen untuk memastikan binaan usang di klinik-klinik dapat dipulihkan dan beroperasi dengan baik.

Bobbey juga menyeru agar hospital-hospital di Sabah dinaik taraf kualiti perkhidmatannya melalui penambahan jumlah doktor pakar, bilangan hospital berstatus negeri, hospital berpakar major, hospital pakar minor untuk hospital-hospital yang bersuaian di bandar-bandar dan daerah- daerah di sekitar negeri ini.

Selain itu beliau juga mencadangkan agar kerajaan memikirkan keperluan untuk petugas kesihatan diberikan bantuan berbentuk insuran atau takaful sebagai pelan perlindungan daripada kerajaan sendiri susulan pengorbanan mereka yang sangat berisiko seperti yang berlaku semasa musim pandemik Covid-19 yang lalu, yang boleh membantu jika berlaku perkara yang tidak diingini.

“Atas rasa hormat kepada para petugas kesihatan, saya juga mencadangkan penjadualan semula gaji para petugas kesihatan dikaji semula kerana beban kerja yang ditanggung. Biarlah gaji yang dibayar juga setimpal dengan khidmat mereka. Ini juga untuk memastikan kita dapat menjaga kuantiti sumber manusia daripada terus kritikal disebabkan isu seperti ‘brain-drain’ dan ‘overload work’ dalam kalangan petugas.

“Di Sabah sendiri, terdapat kes jururawat dan doktor yang terpaksa bertugas lebih masa dan jadual berganda (double shif). Harapan saya, semoga dengan terlaksananya hasrat kita bersama dalam Kertas Putih Kesihatan 2023 ini, maka segala isu ini dapat ditanggani oleh pihak KKM agar kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini khususnya di Wilayah Sabah semakin baik”, tegas Bobbey.

RELATED ARTICLES
Utama

UWSS Kasigui dijangka bantu tingkat pengeluaran bekalan air di Putatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular