HomeIsu tempatanBeri galakkan anak untuk ke Perpustakaan - Matbali

Beri galakkan anak untuk ke Perpustakaan – Matbali

Read Time:1 Minute, 49 Second

Beaufort : Golongan ibu bapa diseru untuk memberi galakkan kepada anak-anak untuk hadir ke perpustakaan bagi mendekatkan mereka generasi muda kepada gedung ilmu.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata, inisiatif itu juga dapat mendidik anak-anak untuk turut serta menyertai pelbagai aktiviti yang menarik sambil belajar perkara baharu di perpustakaan.

Katanya, peranan ibu bapa pada peringkat awal pendidikan anak-anak adalah penting bagi membiasakan mereka dengan ilmu, seni kraftangan dan pembacaan buku yang dilaksanakan oleh perpustakaan.

“Sejak dari generasi dulu dan terkini generasi Z, perpustakaan adalah nadi penggerak ilmu, tempat rujukan maklumat buku dan pelbagai selain tempat berkumpulnya pelajar apabila ada tugasan sekolah yang ingin disiapkan dan budaya ilmu ini diharap akan diteruskan ke generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan minggu perpustakaan yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) cawangan Beaufort, di sini, semalam.

Minggu Perpustakaan itu telah dilaksanakan bermula 24 Jun hingga 7 Julai lalu yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.

Antaranya termasuklah program Fun With Library, pertandingan membaca dan mewarna bersama Tabika KEMAS dan Tabika Pepaduan, pertandingan pakaian daripada bahan terbuang dan aktiviti kanak-kanak, jualan makanan, barangan dan kraftangan seterusnya program derma darah. 

Matbali turut memuji pihak PNS cawangan Beaufort, Hospital Beaufort dan Persatuan Persahabatan Hung Men Beaufort selaku penaja keraian penderma, kerana bekerjasama mengadakan program derma darah.

Katanya, program, itu bukan semata-mata menerapkan elemen pendidikan, malah mendidik sikap menderma dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat. 

 Sejumlah 87 beg darah berjaya diperolehi dan darah tersebut akan digunakan untuk merawat pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan di Hospital Beaufort dan hospital-hospital berdekatan. 

Dalam majlis yang sama, menurut Ketua Perpustakaan Cawangan Beaufort, Norhayati Md. Yassin, minggu perpustakaan yang diadakan di seluruh Sabah itu adalah untuk mendekatkan perpustakaan di hati masyarakat melalui aktiviti dan pengimarahan perpustakaan. 

“Selain aktiviti-aktiviti menarik yang diadakan, masyarakat juga boleh mengambil peluang untuk mengembalikan buku yang lewat dihantar tanpa dikenakan denda kerana pada minggu perpustakaan, pengampunan akan diberikan kepada peminjam buku sehingga 24 Julai 2023,” katanya.

Tambah Norhayati lagi, beliau amat mengalu-alukan sekiranya ada jabatan lain atau institusi yang ingin berkolaborasi bersama perpustakaan untuk menganjurkan program di masa akan datang. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular