HomeUtamaFAMA terus jalin kerjasama bersama PBT dalam mentransformasi operasi pasar tamu

FAMA terus jalin kerjasama bersama PBT dalam mentransformasi operasi pasar tamu

Read Time:1 Minute, 54 Second

Tuaran : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mentransformasikan operasi Pasar Tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya.

Pengarah FAMA Sabah Sarman Sidno berkata, pasar tamu merupakan pasar yang diadakan secara mingguan di Sabah dan Sarawak bagi menjual barangan tani.

Katanya, meskipun pasar tamu telah di naik taraf, ia masih mengekalkan budaya setempat serta mempromosikan produk, serta bertujuan untuk menaiktaraf tahap keusahawan peserta pasar tamu selain masih sepenuhnya di bawah kendalian pihak PBT setempat.

“Pasar Komuniti Tuaran ini adalah pasar kelima yang dinaik taraf di Sabah selepas pasar tamu Sook, Kudat, Kunak dan Beluran.

“Dengan adanya pasar tamu berkenaan, ianya dapat membantu peniaga untuk memasarkan hasil pertanian yang di keluarkan dan secara tidak langsung memudahkan pengguna untuk mendapatkan produk-produk pertanian.

“Seperti yang kita sedia maklum, Pasar Komuniti ini mendapat sokongan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 07 Mei 2021 yang lalu. Untuk makluman, pihak FAMA mendapat peruntukan tambahan berjumlah RM700,000 daripada kerajaan Negeri Sabah bagi menaik taraf projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Pasar Komuniti FAMA kepada Majlis Daerah Tuaran di sini hari ini.

Majlis penyerahan surat dan plak pasar berkenaan telah dilaksanakan antara Sarman dan Pengerusi Majlis Daerah Tuaran Hadzlan Jamlee dan turut disaksikan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Kaven Lee Seng Vui.

Sarman berkata, pembinaan projek itu terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa Pertama bemula pada 13 Julai 2022 dengan kos pembinaan sebanyak RM1.02 juta.

Katanya, keluasan bangunan itu adalah seluas 4,838 kaki persegi dengan kapasiti  70 lot gerai dan perancangan asal fasa pertama dijangka siap pada Mac 2023 namun ianya dapat disiapkan tiga bulan lebih awal daripada tarikh asal.

“Manakala Fasa Kedua bermula pada bulan Februari tahun ini dengan kos pembinaan berjumlah RM567,150. Fasa ini melibatkan pembinaan surau, tambahan awning, menaik taraf tandas dan pasar ikan sedia ada, meletakkan papan tanda dan menyediakan laluan pejalan kaki bagi kemudahan pengunjung.

“Fasa kedua ini telah siap sepenuhnya pada Jun 2023 dan kos keseluruhan bagi kedua-dua fasa ini adalah sebanyak lebih RM1.5 juta,” katanya.

Tambahnya, kemudahan dan fasiliti yang disediakan ini perlu diselia dan diselenggara dengan baik bagi memastikan operasi dan fungsinya tidak terjejas dan keselamatan Pasar Komuniti Tuaran terjamin. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

2 Anggota Polis Ulu Tiram Terbunuh, Penyerang Ditembak Mati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular